Teks : Norazira Mohamed
Gambar : Carian Google
Assalamualaikum..
Para pembaca sekelian. Saya merupakan ibu sepenuh masa hanya pada hari minggu sahaja iaitu Sabtu dan Ahad. Pada hari itulah, saya akan bersama anak-anak dari celik mata hingga mata tertutp kembali. Tugas saya bermula dari pagi selepas Solat Subuh hingga malam hari sampai terlena sendiri kepenatan sambil mendodoikan yang kecil.
Bangun pagi, selepas menunaikan Solat Subuh, terus menuju ke mesin basuh untuk mengeluarkan kain basuhan semalam dan menggantikannya dengan kain kotor yang lain. Selepas itu, mula memikirka menu untuk sarapan sambil-sambil mengemas dapur ; membasuh pinggan mangkuk yang berbaki, meletakkan ke rak dan mula menyediakan bahan untuk sarapan.
Biasanya tengah menyediakan sarapan, anak yang kecil telah pun bangun. Saya sediakan susu dan biarkan dia bermain di ruang tamu bersama mainan yang bersepah semalam. Ketika itulah juga biasanya abangnya yang sulung bangun dan bermain-main dengannya.
Setelah selesai menyiapkan makanan dan menghidangkannya ; biasanya pada waktu ini semua anak-anak telah pun bangun ; saya akan menyuapkan anak yang kecil sambil anak-anak lain makan sendiri di meja makan. Biasalah budak-budak makan, memang bersepah, dengan airnya yang tumpah, dengan makanannya yang jatuh ke bawah meja. Hush, memang penat nak mengemaskannya semula.
Selesai sarapan saya akan arahkan mereka mandi. Selepas semua anak-anak dah mandi, yang sulung mula buat kerja sekolah, yang tengah dan kakak main mainan dengan adik yang kecil. Saya mengemas meja makan, menyapu rumah, mengemas dapur dan menjemur kain. Berehat sekejap melihat anak sulung membuat kerja sekolah.
Selepas itu, mula balik rutin didapur menyediakan makanan tengahhari pula. Biasanya anak yang kecil telah pun mengantuk. Saya dodoikan dulu di buaian agar saya dapat fokus pada memasak. Biasanya saya dibantu oleh Encik Suami atau lebih tepat lagi sebenarnya saya yang membantu Encik Suami memasak. Lagipun memang En.Suami lagi pandai masak. Selepas itu, kami makan bersama sekeluarga. selepas makan, rutin biasa ; basuh pinggan mangkuk, kemas dapur, kemaskan meja makan.
Sesudah itu, bolehlah saya berehat sekejap selepas Solat Zuhur sambil menonton TV atau kebiasaanya TV yang menonton saya yang lena. Anak-anak saya biarkan bermain. Kadangkala ada yang mengejutkan bila ada yang buat hal dan mula bergaduh. Memang kerenah anak-anak ni kadang buat saya naik angin pun ada tapi kadang-kadang buat saya tertawa pun ada.
Petang selepas Asar, kadangkala ke Pasaraya membeli barang dapur, kadangkala ke padang permainan bawa mereka bermain-main, kadang kala tidak kemana-mana. Malam biasanya selepas Maghrib, anak-anak akan makan malam. Selepas itu, yang sulung dan tengah ke rumah jiran belajar mengaji. Pukul 9.30 biasanya saya dah kerahkan mereka semua tidur. Saya dah keletihan. Kadang-kadang saya yang tertidur dulu. Letih bila berbadan dua begini, menguruskan rumah tangga dan empat orang anak ; yang sulung 7 tahun, yang tengah 5 tahun, kakak 3 tahun dan yang kecil 9 bulan, serta yang dalam kandungan 5 bulan.
Saya kagum dengan ibu-ibu sepenuh masa yang sentiasa menguruskan rumah dan anak-anak 24 jam sehari, 7 hari seminggu. Sedangkan saya yang berkerja ni boleh juga merehatkan otot-otot di pejabat. Semoga ibu-ibu ini diberi ganjaran yang lebih dari Allah S.W.T. InsyaAllah, saya juga ingin menjadi seperti mereka, tapi banyak yang perlu difikirkan. Adakah saya sudah bersedia? Adakah ekonomi kami mampu bertahan jika hanya seorang yang bekerja? Ianya satu keputusan yang besar. InsyaAllah jika diizinkan Allah saya juga akan bergelar ibu sepenuh masa...
No comments:
Post a Comment