Jumlah Pelawat

Panduan memberi nama kepada anak yang baharu lahir

Teks : Norazira Mohamed

Gambar : Carian Google

Mendapat cahaya mata merupakan saat yang paling manis buat ibu dan juga bapa. Apalagi jika cahaya mata tersebut merupakan anak pertama. Selepas kelahiran, ibubapa biasanya akan memberikan nama buat anak tersebut. Malah sebelum melahirkan pun, kebanyakan ibubapa telah pun memilih nama-nama yang sesuai untuk anak mereka.

Namun, didalam Islam, terdapat beberapa hukum-hukum yang penting dalam menamakan anak yang baharu lahir. Dipetik dari buku "Pendidikan Anak-Anak Menurut Pandangan Islam" hasil tulisan Abdullah Nasih 'Ulwan, ada 3 perkara yang perlu dilihat.



1. Bila masa anak itu diberi nama?

Sabda Rasulullah S.A.W.
كُلُّ غُلاَمٍ رَهِينٌ بِعَقِيقَةٍ تُذْبَحُ عَنْهُ يَوْمَ سَابِعِهِ، وَيُحْلَقُ وَيُسَمَّى
“Setiap anak kecil (bayi) dipertaruhkan dengan suatu aqiqah; disembelih untuknya pada hari ke tujuh, dicukur kepalanya dan diberi nama”. (Riwayat Imam Abu Daud, Tirmizi, an-Nasai dan Ibnu Majah dari Hasan r.a. dari Samurah bin Jundub r.a.)

Daripada hadis tersebut dapatlah disimpulkan bahawa disunatkan memberi nama kepada bayi pada hari ketujuh kelahirannya.

Namun, boleh juga dinamakan anak yang baharu lahir itu pada hari kelahiran sebagaimana yang diriwayatkan oleh Abu Musa al-Asy’ari r.a. yang menceritakan;

وُلِدَ لِي غُلاَمٌ، فَأَتَيْتُ بِهِ النَّبِيَّ -صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ- فَسَمَّاهُ: إِبْرَاهِيمَ، وَحَنَّكَهُ بِتَمْرَةٍ وَدَعَا لَهُ بِالْبَرَكَةِ
“Telah dilahirkan untukku seorang anak, lalu aku membawanya kepada Nabbi s.a.w., maka baginda menamakannya Ibrahim dan baginda mentahniknya dengan sebiji buah tamar serta baginda mendoakan keberkatan untuknya”. (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

Daripada kedua Hadis tersebut, adalah sunah menamakan bayi yang baharu lahir samada pada hari kelahirannya atau dilambatkan sehingga hari ketujuh kelahirannya.


2. Nama-nama yang baik dan utama serta nama-nama yang keji dan patut dielakkan

Sebagai ibubapa, adalah wajib memberikan nama-nama yang elok buat anaknya seperti nama Abdullah dan Abdul Rahman, yang disukai oleh Allah S.W.T. Sebagaimana yang disabdakan oleh Rasulullah s.a.w.;

إنَّ أحَبَّ أسْمائكُمْ إلى اللّه عَزَّ وَجَلَّ عَبْدُ اللّه، وَعَبْدُ الرَّحْمَنِ
“Sesungguhnya nama yang paling disukai oleh Allah dari nama-nama kamu ialah Abdullah dan Abdul Rahman”. (Riwayat Imam Muslim dari Abdullah bin Umar r.a.)

Adalah disunatkan memberi nama yang baik dan elok kerana nama merupakan panggilan yang akan digunakan sepanjang hidupnya. Nabi s.a.w. bersabda;

إنَّكُمْ تُدْعَوْنَ يَوْمَ القِيامَةِ بأسْمائكُمْ وأسماءِ آبائِكُمْ فأحْسِنُوا أسْماءَكُمْ
“Sesungguhnya kamu sekelian akan diseru/dipanggil pada hari Kiamat dengan nama-nama kamu dan nama-nama bapa kamu. Oleh demikian, elokkanlah nama-nama kamu”. (Riwayat Imam Abu Daud dari Abu Dardak r.a.)

Setiap ibubapa wajib mengelakkan menamakan anak-anak dengan nama-nama yang tidak elok/buruk/mempunyai makna yang tidak baik. Rasulullah juga tidak menyukai nama yang buruk dan baginda akan menukarkan nama yang buruk kepada nama yang elok. Ibnu Umar r.a. menceritakan;

أَنَّ رَسُولَ اللهِ -صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ- غَيَّرَ اسْمَ عَاصِيَةَ. وَقَالَ: “أَنْتِ جَمِيلَةُ”
“Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. telah menukar nama (seorang perempuan bernama) ‘Ashiyah (yang bermaksud; perempuan yang engkar) di mana baginda berkata kepada (perempuan itu); ‘Kamu adalah Jamilah (bermaksud; yang indah)’”. (Riwayat Imam Muslim)

Nama-nama yang bersifat pesimis atau negatif juga perlu dielakkan demi menyelamatkan anak itu daripada terikut-ikut sifat negatifnya. Said bin al-Musayyab menceritakan bahawa bapanya -yang bernama Hazn (bermaksud; susah/sedih)- telah datang kepada Nabi s.a.w., lalu baginda bertanya kepadanya; ‘Apa nama kamu?’. Jawab bapaku; ‘Hazn’. Lalu Rasulullah berkata; ‘Kamu adalah Sahl (yakni Nabi menukar namanya kepada Sahl yang bermaksud; mudah). Namun bapaku berkata; ‘Aku tidak akan menukar nama yang diberikan kepadaku oleh bapaku’. Said berkata; ‘(Dengan kedegilannya itu) maka berterusanlah huzunah (yakni kepayahan/kesedihan) membelenggu keluarga kami selepasnya’”. (Riwayat Imam Bukhari dari Said bin al-Musayyab dari bapanya)

Selain itu, antara nama yang perlu dielakkan ialah nama yang khusus bagi Allah seperti al-Ahad, al-Samad, al-Khaliq, al-Razaq dan seumpamanya. Baginda bersabda;

أَغْيَظُ رَجُلٍ عَلَى اللهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ، وَأَخْبَثُهُ، رَجُلٌ كَانَ يُسَمَّى مَلِكَ الأَمْلاَكِ، لاَ مَلِكَ إِلاَّ اللَّهُ
“Lelaki yang paling dimukai oleh Allah pada hari kiamat dan paling hina ialah lelaki yang diberi nama Malikul-Amlak (kerana hakikatnya) tiada raja melainkan Allah”. (Riwayat Imam Muslim dari Abu Hurairah r.a.)

Begitu juga, dimakruhkan memberi nama dengan nama-nama yang dijadikan tengok nasib seperti nama-nama yang diriwayatkan dalam sabda Nabi s.a.w.;

لاَ تُسَمِّيَنَّ غُلاَمَكَ يَسَاراً، وَلاَ رَبَاحاً، وَلاَ نَجِيحاً، وَلاَ أَفْلَحَ، فَإِنَّكَ تَقُولُ: أَثَمَّ هُوَ؟ فَلاَ يَكُونُ، فَيَقُولُ: لاَ”. إِنَّمَا هُنَّ أَرْبَعٌ، فَلاَ تَزِيدُنَّ عَلَيَّ.
“Janganlah kamu menamakan anak kamu Yasar (mudah), Rabah (untung), Najih (berjaya) dan Aflah (berjaya). Kerana sesungguhnya jika kamu bertanya seseorang; Apakah ada di sana (Yasar, Rabah dan sebagainya itu)? Lalu ia menjawab; ‘Tidak ada’. Sesungguhnya nama-nama itu hanya empat. Maka jangan kamu menambah ke atas apa yang aku sebutkan itu”. (Riwayat Imam Muslim dari Samurah bin Jundab r.a.)

Menurut Imam Nawawi, dimakruhkan nama-nama tersebut ialah kerana nama-nama tersebut berkemungkinan boleh mengelirukan orang lain dan boleh membawa kepada perbuatan menengok untung/nasib”. Contohnya apabila ditanya; ‘Adakah di sana ada Rabah (yang bermaksud; untung)?’, lalu dijawab; ‘Ada’. Apabila orang yang suka menengok/menilai nasib dengan suatu sempena atau kejadian mendengar jawapan ini, maka ia akan membuat andaian bahawa hari tersebut adalah hari untung).

Oleh yang demikian, Rasulullah menggalakkan umatnya memberikan nama-nama yang baik seperti nama Nabi-Nabi, Abdullah, Abdul Rahman dan sebagainya. Sabda Rasulullah s.a.w.;

تَسَمَّوا بأسْماءِ الأنْبِياءِ، وَأحَبُّ الأسْماءِ إلى اللّه تَعالى عَبْدُ اللّه وَعَبْدُ الرَّحْمَن، وأصْدَقُها: حَارِثٌ وَهمَّامٌ، وأقْبَحُها: حَرْبٌ وَمُرَّةُ
“Berilah nama dengan nama-nama para Nabi. Nama yang paling disukai oleh Allah ialah Abdullah dan Abdurrahman. Nama yang paling tepat (dengan hakikat manusia) ialah Harith dan Hammam, dan nama yang paling buruk ialah Harb dan Murrah”. (Riwayat Abu Daud, an-Nasai dan lain-lain dari Abi Wahb al-Jusyami r.a.)

Jabir bin Abdullah r.a. menceritakan; “Seorang lelaki dari kalangan kami baru memperolehi anak dan ia memberi nama anak itu ‘Muhammad’. Lalu kaumnya berkata kepadanya; ‘Kami tidak akan membiarkan kamu memberi nama dengan nama Rasulullah s.a.w.’. Maka lelaki ini pun pergi menemui Nabi s.a.w. dengan membawa anaknya di atas belakangnya. Ia bertanya Nabi; “Ya Rasulullah, dilahirkan untukku anak dan aku menamakannya ‘Muhammad’, lalu kaumku berkata kepadaku; ‘Kami tidak akan membiar kamu menamakan dengan nama Rasulullah s.a.w.”. Lantas Nabi menjawab;

تَسَمَّوْا بِاسْمِي، وَلاَ تَكْتَنُوا بِكُنْيَتِي، فَإِنَّمَا أَنَا قَاسِمٌ، أَقْسِمُ بَيْنَكُمْ
“Berilah nama dengan namaku, akan tetapi jangan memanggil dengan panggilanku (yakni Abul-Qasim) kerana sesungguhnya aku adalah Qasim (pembahagi) yang membahagi di antara kamu”. (Riwayat Imam Muslim)

Seperti yang telah diketahui, Nabi s.a.w. juga ada menamakan salah seorang daripada anaknya dengan nama Ibrahim.


3. Antara ajaran sunat ialah memanggil anak yang baharu lahir dengan gelaran bapa. 

Seperti contoh bapa si pulan. Walaupun anak itu masih belum berkahwin atau belum mempunyai anak, tetapi boleh dipanggil dengan panggilan bapa si pulan. Malah Rasulullah S.A.W. sendiri mengamalkannya dan mengizinkan Aisyah r.a dipanggil dengan gelaran Ummu Abdullah walhal Abdullah ialah anak kepada adiknya Asma binti Abu Bakar r.a. Panggilan seperti itu boleh memberikan impak yang besar dalam diri anak-anak. 
Antaranya :
  • menyemai perasaan mulia dan hormat,
  • menjadikan peribadinya lebih dewasa kerana dia akan merasakan umurnya telah sampai ketahap umur yang dihormati,
  • menjadikannya lebih mesra dan menggembirakannya dengan memangil panggilan yang disukainya,
  • menjadikannya kebiasaan apabila berkomunikasi dengan orang yang lebih tua daripadanya.
Anas juga sudah dipanggil dengan gelaran Abu Hamzah sebelum dia mendapat anak. Begitu juga dengan Abu Hurairah yang dipanggil sedemikian sebelum dia mendapat zuriat.

Semoga dengan coretan yang sedikit ini dapat membantu ibubapa dalam memberikan nama kepada anak-anak mereka yang baharu lahir. Semoga nama-nama indah yang dipilih dengan makna-makna yang elok bisa menjadikan anak-anak tersebut seorang Muslim atau Muslimah yang sejati. Amin.


No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...