Teks : Norazira Mohamed
Gambar : Carian Google
Wahai Suami,
Bangunlah seketika apabila Subuh mula menjelma dan malam mula beransur pergi. Tataplah wajah isterimu yang sedang lena keletihan disamping anak kecilmu. Perhatikan garis-garis kepenatan akibat seharian isterimu mengabdikan diri menjaga anak-anakmu tanpa rehat yang cukup.
Mungkin masih lagi bersisa kecantikannya kerana basahan air wudhu setiap hari dan keikhlasannya dalam menjalankan kewajipannya sebagai seorang isteri dan ibu. Bayangkan hari esok yang bakal menjelma seketika nanti, tatkala kau bangun dengan tubuh yang terasa segar dan bugar sambil menghirup udara pagi yang nyaman. Namun isterimu bangun dengan tubuh yang masih diulit keletihan semalam. Tubuhnya belum lagi terasa benar-benar segar.
Sekejap lagi, anak-anak kecilmu akan bangun menuntut perhatian yang tak berbelah bagi dari ibunya. Membingitkan telinganya dengan tangis dan raung, merawan hatinya dengan pergaduhan kecil sesama mereka, menuntut darinya masa yang tak sudah-sudah.
Pada masa itu, apa yang kamu fikirkan? Apa yang kamu mahukan? Adakah kamu menganggap bahawa dia masih lagi boleh bertutur lembut dalam katanya kepada anak-anakmu. Sedangkan dalam waktu yang sama, kamu juga menuntut perhatian dan masa darinya. Bagaimanakah bisa dia menyempurnakan tanggungjawabnya sebagai ibu tanpa kerjasama dari mu. Bagaimana mungkin dia menjalankan tugasnya sebagai isteri tanpa sokongan dari mu, termasuk kewajipan yang bukan kewajipan isteri tetapi pada hari ini ia tetap di anggap kewajipan isteri.
Wahai Suami
Capailah tangan isterimu dan gengamlah ia... Rasakan telapak tangannya yang tidak lagi selembut di hari pertama kamu gengam ia di hari perkahwinan kalian. Ya, telapak tangannya sudah kasar dimamah waktu. Telapak tangannya sudah kasar kerana mengerah segala tenaga dan kudrat memastikan kamu dan anak-anakmu bahagia. Telapak tangannya sudah kasar dalam usaha menjaga keluarganya. Namun, disebalik telapak tangannya yang kasar, jiwanya dan kasihnya masih utuh hanya untukmu dan anak-anakmu. Tiada berbelah bagi.
Oleh itu wahai Suami,
Janganlah kau abaikan isterimu, janganlah kau biarkan dia menanggung kesedihan seorang diri, janganlah kau persiakan hidupnya. Ucapkanlah kata-kata manis, kata-kata yang penuh kemesraan, walaupun tanpa di pinta, kerana itu bisa membuatkan hatinya gembira, bisa membuatkan dia lupa pada keletihannya, bisa menguatkan lagi kasih sayangnya padamu. Ucaplah... isteriku, engkau adalah hadiah terbaik pilihan Allah untukku....
No comments:
Post a Comment