Teks : Norazira Mohamed
Gambar : Carian Google
Anak pertama dan kedua saya lelaki. Kedua-duanya mempunyai perangai yang berbeza. Mereka juga suka bertengkar. Ah! Kadangkala bingit suasana dengan pertengkaran mereka. Bukannya hal yang besar pun. si Abang suka menyakat dan bergurau. Si Adik (Bang Ngah) pula tidak boleh menerima gurauan. Mulalah Bang Ngah menangis. Si Abang lagi suka, lagi disakatnya...
Ya, memang seperti kata orang tua-tua. Lain anak lain perangainya. Masing-masing dengan keunikan yang berbeza. Masing-masing dengan kekuatan dan kelemahan yang tidak sama. Jadi, tidak hairanlah andai mereka saling bersaing dan bertengkar.
Namun, sebagai ibubapa, hal ini kadangkala menyebabkan tekanan yang berpanjangan. Seperti saya, setiap kali Abang dan Bang Ngah bertengkar, saya mula tertekan. Jadi, sebagai ibubapa, saya cuba untuk mengawal supaya keadaan ini tidak berterusan. Ada beberapa tips yang boleh dijadikan panduan.
Berikan batasan
Pastikan anak-anak mengetahui batasan mengenai apa yang boleh dan tidak boleh. Fahamkan mereka tingkahlaku seperti bertengkar, memukul, mengherdik, mengambil mainan tanpa izin dan yang sewaktu dengannya adalah perbuatan yang salah.
Pisahkan
Pisahkan mereka buat sementara waktu. Tempatkan di bilik atau ruangan berasingan. Ini dapat memberi mereka masa untuk bertenang dan akhirnya mereka akan kembali bermain bersama-sama.
Menjadi pendengar setia
Selidiki punca masalah. Tanya dan berikan mereka peluang untuk bercerita versi masing-masing. Dengarkan dengan teliti dan bagi solusi yang boleh diterima bersama.
Adil dengan setiap anak
Bagi mengelakkan rasa cemburu di kalangan anak-anak, luangkan masa bersama anak-anak secara adil. Cari masa untuk melakukan aktiviti bersama secara individu dan berikan perhatian yang penuh ketika bersama mereka.
Pujian dan penghargaan
Jangan berlebihan dalam memuji salah seorang anak anda. Adillah dalam meberikan pujian walaupun Si Abang lagi mudah menolong dari Bang Ngah. Jika saya puji kedua-duanya, In Sya Allah, Bang ngah dengan sendiri juga rajin menolong. Puji setiap kebaikan mereka dan juga prestasi yang mereka raih dan tunjukkan yang anda bangga dengan pencapaian mereka.
Habiskan waktu bersama keluarga
Adalah penting sekiranya kita dapat menjalankan aktiviti yang boleh dilakukan bersama sebagai sebuah keluarga. Ini dapat memberikan mereka rasa saling menghargai dan salaing memiliki.
Biarkan mereka menghadapi masalahnya sendiri
Kadang-kadang, saya biarkan sahaja Abang dan Bang Ngah menyelesaikan pertengkaran mereka sendiri asal sahaja tidak melibatkan keganasan dan tumbuk menumbuk. Walaupun Bang Ngah kadang kala datang mengadu, saya menggalakkan dia menyelesaikan sendiri dengan Abangnya dan Alhamdulillah, biasanya mereka boleh bermain bersama-sama semula dengan baik.
Menghadapi dengan berlapang dada
Kadang-kala kita sebagai ibu bapa merasakan bahawa perengkaran mereka ini tidak akan berakhir. Asyik jumpa je nak bergaduh. Tapi, pertengkaran mereka akan berakhir juga seiring dengan berjalannya waktu. Oleh itu, berlapang dadalah dan jalankan peranan kita sebagai oarng tengah dengan sabar.
Semoga dengan beberapa panduan diatas, pertengkaran anak-anak bukan lagi menjadi isu besar buat ibu bapa pada zaman moden ini. Yang penting, bagaimana kita berperanan dalam mendamaikan kedua belah pihak. Wallahu a'lam...
No comments:
Post a Comment