Teks : Norazira Mohamed
Gambar : Carian Google
Sebagai ibu, kita biasanya inginkan yang terbaik buat anak-anak kita. Kita sanggup bangun jam 4 pagi mengemas rumah dan menyediakan sarapan, asalkan anak-anak terurus. Kita sanggup mengeluarkan duit beratus ringgit untuk kesihatan anak-anak. Kita juga sanggup bersengkang mata tatkala anak-anak sakit atau pun menjadi peneman di saat mereka belajar di musim peperiksaan.
Namun, tindakan tanpa doa tindak mencukupi. Sebagai ibu, hendaklah kita sentiasa berdoa untuk kebaikan atau kesihatan atau keselamatan anak-anak. Doa seorang ayah dan ibu amat berkuasa. Doalah berterusan dari mereka masih kecil hinggalah mereka dewasa bahkan sehingga akhir hayat mereka. Ini kerana anak-anak merupakan amanah dan juga anugerah, juga sebagai satu ujian dan nikmat untuk kita sebagai ibubapa. Mereka mampu menarik kita ke syurga atau membawa kita ke neraka. Nauzubillah.
Sekiranya ibubapa berdoa dalam keadaan acuh tak acuh, berdoa sikit-sikit, kadang-kadang tidak tahu nak doakan apa, ianya merupakan satu kerugian besar. Bahkan ada ibubapa yang tidak rajin menadah tangan bahkan merasakan tidak penting atau yang paling teruk TERLUPA untuk mendoakan anak-anak mereka.
Berdoalah untuk anak-anak setiap hari secara spesifik selagi kita masih bernyawa. Sebutkan nama anak setiap seorang, doakan keselamatannya, jodohnya,wajahnya, akhlaknya,rezekinya, hajatnya, takdirnya, umurnya, imannya,hala tujunya, kesihatannya dan kesejahteraannya dunia akhirat. Suatu hari nanti mereka akan jadi seperti apa yang kita doakan. Mungkin kita sendiri pun 'terlupa' apa yg pernah kita doakan untuk mereka.
Ini antara doa yang boleh diamalkan oleh ibubapa. Doa ini saya ambil dari laman sosial Puan Khairulniza Khairuddin, salah seorang guru yang mengamalkan teknik Nabi didalam pengajarannya.
"Ya Allah! Hamba-Mu bermohon kepada-Mu, jadikanlah kami,para ibu ini sentiasa mensyukuri anugerah yang Engkau kurniakan kepada kami. Jadikanlah pandangan kami terhadap anugerah-Mu dengan pandangan yang penuh kasih sayang dan belas kasihan.Biar apapun dugaan yang melanda, jauhkan kami daripada melepaskan kemarahan dan kerunsingan kepada mereka. Setiap kali kami diselubungi dengan rasa kecewa, marah dan bakal bertindak di luar batasan, padamkanlah api kemarahan itu, gantikannya dengan air kesabaran. Ketika itu, tiupkanlah keinsafan dalam diri dan sedarkanlah kami bahawa anak-anak kami itu hanyalah pinjaman daripada-Mu, Ya Allah. Anak-anak kami itu bila-bila masa sahaja boleh diambil daripada kami. Ingatkan kami andai kami terlupa. Halangi kami daripada menzalimi mereka. Ya Rabb! Jadikanlah kami para ibu yang memikul amanah-Mu ini , dapat melaksanakan dan menunaikan hak anak-anak kami. Jauhkanlah kami daripada rasa putus asa dan kecewa biar apapun cabaran dan dugaannya. Permudahkanlah kami dalam mengamalkan sunnah dalam mendidik anak-anak kami menjadi anak-anak yang soleh dan bakal penghuni syurga-MU. Amin! Amin! Amin!!
Jemput ke blog saya
ReplyDeletehttp://suplemen-keluarga.blogspot.com/
Terima kasih singgah blog saya. Moga bisnes shaklee puan berjaya.
Delete