Jumlah Pelawat

Kisah seorang ibu mithali - 100413

Teks : Norazira Mohamed
T
Dalam pada saya mencari-cari senarai ibu-ibu yang telah menerima anugerah ibu mithali, saya terjumpa pada sebuah kisah salah seoarng ibu yang dicalonkan. Ibu itu ialah Puan Afifah Rashid. Mengalir air mata saya membaca kisah beliau. Dia memang seorang ibu yang kuat dan adalah amat wajar mencalonkan beliau sebagai salah seorang tokoh ibu mithali. Jom baca kisah beliau dalam membesarkan anak-anaknya.

-------------------------------------------------------------------------

PENERIMA ketiga berjalan perlahan-lahan turun dari pentas. Di lehernya, telah terkalung pingat "Ibu Mithali". Tangan kanannya menggenggam erat satu sampul dan segulung sijil. Tangan kirinya pula memegang beberapa hadiah iringan. Anaknya setia melangkah di sisi.
"Sekarang ...," suara pengacara majlis bergema kembali, "Tibalah kita kepada penerima anugerah "Ibu Mithali" yang terakhir. Penerima ini agak lain daripada yang lain dan sungguh istimewa. Untuk itu, dipersilakan Puan Afifah Rashid naik ke pentas bersama- sama Cik Nurul Humairah, untuk tampil memperkenalkan ibunya. Dipersilakan. "

Mataku tercari-cari pasangan ibu dan anak yang bakal mengambil tempat itu. Di barisan penonton paling hadapan, aku dapati seorang anak gadis berkulit hitam manis dan bertubuh tinggi lampai, sedang berusaha memujuk seorang wanita dalam lingkungan usia 60-an untuk bangun.
Aneh, kenapa ibu yang seorang ini nampaknya begitu keberatan untuk naik ke pentas? Kenapa dia tidak seperti tiga orang penerima sebelumnya, yang kelihatan begitu bangga menapak naik ke pentas, sebaik sahaja mereka dijemput?
Hampir lima minit kemudian, barulah tampak si anak gadis yang memakai sepasang kebarung bertanah ungu dan berbunga merah jambu serta bertudung ungu kosong, bersusah payah memimpin ibunya naik ke pentas.
Ibu itu pun menduduki kerusi yang telah diduduki oleh tiga orang penerima sebelumnya. Anak gadis itu kemudiannya beredar ke pembesar suara. Dia beralih pandang kepada ibunya yang hanya tunduk memerhati lantai pentas.
'Pelik sungguh ibu yang seorang ini. Lagaknya bukan lagak orang yang akan menerima anugerah. Dia tak ubah seperti seorang pesalah yang sedang menanti hukuman. Duduknya serba tak kena. Sekejap beralih ke kanan, sekejap berpusing ke kiri. Tangannya menggentel-gentel baju kurung biru muda yang dipakainya.'
Dehem si anak dalam pembesar suara membuat aku sedikit tersentak.
Tumpuanku yang sekian lama terhala ke pentas, aku alihkan pada buku notaku. Aku menconteng-conteng helaian yang masih putih bersih itu untuk memastikan penku dalam keadaan yang baik. Kemudian, aku memeriksa kameraku. Filemnya masih ada. Baterinya masih dapat bertahan.
Sempat juga aku mengerling rakan-rakan wartawan dari syarikat akhbar dan majalah lain yang duduk di kiri kananku. Nampaknya, pen sudah berada dalam tangan masing-masing. Mata mereka sudah terarah kepada ibu di atas pentas dan anak yang sudah pun memulakan bicaranya dengan bismillah dan, memberi salam.
Aku tersenyum dan mengangguk kepada rakan- rakan wartawan yang duduk semeja denganku. Tetapi, senyuman dan anggukanku sudah tidak sempat mereka balas. Aku lantas mengemaskan dudukku mencari posisi yang paling selesa.
"Pertama sekali, saya ingin memanjatkan rasa syukur ke hadrat Allah, kerana dengan izin-Nyalah saya dan, mak berada dalam majlis yang gilang-gemilang ini. Seterusnya, saya ingin merakamkan penghargaan saya kepada pihak penganjur yang telah mempertimbangkan mak saya sebagai, salah seorang penerima anugerah "Ibu Misali" tahun ini."
Suasana menjadi sunyi. Hadirin memberi tumpuan sepenuhnya kepada percakapan gadis itu.
"Sebetulnya, ketika saya kecil, saya memang membenci mak. Darjah kebencian itu meningkat setelah saya mendapat tahu Puan Afifah hanyalah mak angkat saya. Pada masa yang sama, saya merasakan sayalah anak yang paling malang , disisihkan oleh ibu sendiri, dan diperhambakan pula oleh mak angkat untuk membantu menjaga anak-anak kandungnya"
"Membantu menjaga anak- anak kandungnya? Mungkin, persoalan itu sedang pergi balik dalam benak tuan-tuan dan puan-puan sekarang. Persoalan itu pasti akan terjawab sebentar lagi, apakala saya mempertontonkan rakaman video yang memaparkan kehidupan anakanak kandung mak. Sebelum itu, saya harus menegaskan bahawa anak-anak yang bakal hadirin lihat nanti bukan terdiri daripada doktor, peguam, jurutera, pensyarah, ahli perniagaan, pemimpin masyarakat, dan guru, seperti mana anak ketiga-tiga "Ibu Mithali" yang baru menerima anugerah sebentar tadi."
Suara hadirin yang kehairanan mula kedengaran.
"Inilah dia abang-abang dan kakak- kakak saya!" suara hadirin semakin kedengaran. Mereka tidak dapat membendung rasa kekaguman.
"Yang mengeluarkan berbagai-bagai bunyi itu, Abang Long. Yang sedang merangkak ke sana ke mari itu, ialah Kak Ngah. Yang sedang mengesot ke ruang tamu itu, ialah Abang Alang. Yang sedang berjalan sambil berpaut pada dinding itu, ialah Kak Anjang. Yang sedang berjalan jatuh dari dapur ke dalam bilik itu, ialah Abang Andak."
"Seperti yang tuan-tuan dan puan-puan saksikan, tahap kecacatan fizikal dan mental abangabang dan, kakak-kakak saya tidak sama. Daripada yang tidak boleh bercakap dan bergerak langsung, seperti bayi yang baru lahir hinggalah kepada yang boleh berjalan jatuh dan, bercakap pelat-pelat, seperti budak berumur satu atau, dua tahun."
Hadirin yang sebentar tadi bingit suaranya kini terdiam kembali. Mereka menonton video yang sedang ditayangkan itu dengan khusyuknya.
"Untuk pengetahuan semua, abang-abang dan kakak-kakak saya, telah menjangkau usia 20-an dan, 30-an. Namun, meskipun telah dilatih dengan sungguh-sungguh, mereka masih belum pandai mengurus makan minum dan berak kencing mereka sendiri. Lihatlah betapa sukarnya mak hendak melayan makan dan, pakai mereka."
"Sewaktu saya berusia enam atau, tujuh tahun, saya sering mencemburui abang-abang, dan kakak-kakak kerana mereka, mendapat perhatian istimewa daripada mak. Saya iri hati melihat mak memandikan mereka. Saya sakit hati melihat mak menyuap mereka. Sedang saya disuruh buat semua itu sendiri."
"Mirah dah besar, kan ? Mirah dah boleh uruskan diri Mirah sendiri, kan ?" Lembut nada suara mak tiap kali dia memujuk saya. Namun, kelembutan itu telah menyemarakkan api radang saya
"Tapi, mak tak adil!" Saya kerap membentak. "Mak buat segalagalanya untuk kakak- kakak dan abang- abang. Kalau untuk Mirah, mak selalu berkira!"
"Mirah, abang-abang dan kakak-kakak Mirah tidak secerdas Mirah. Mereka cacat!" Berkali-kali mak menegaskan kepada saya. "Sebab itulah mak terpaksa membantu mereka."
"Mereka cacat apa, mak?" Saya membeliakkan mata kepada mak. "Semua anggota mereka cukup. Kaki dan tangan mereka tidak kudung. Mata mereka tidak buta. Yang betulnya, mereka malas, mak!"
"Mirah ... Mirah belum faham, sayang." Suara mak akan menjadi sayu tiap kali dia mempertahankan kakak-kakak dan abang-abang saya. Tetapi, kesayuan itu tidak pernah mengundang rasa simpati saya.
"Apabila difikirkan kembali, saya merasakan tindakan saya itu terlalu bodoh. Abang-abang dan kakak-kakak tak pernah kacau saya. Mak pun cuma sekali-sekala saja meminta bantuan saya menyuapkan mereka makan atau menukar kain lampin mereka. Itu pun saya tidak pernah ikhlas menolong.Saya akan merungut tidak henti-henti sepanjang masa saya melakukan itu. Jika makanan yang saya suap tumpah atau jika abang-abang dan kakak-kakak terkencing atas tangan saya, ketika saya sedang menyalin kain lampin mereka, tangan saya ringan saja mencubit atau menampar mereka. Saya tahu mereka tidak pandai mengadu perbuatan jahat saya kepada mak. Ketika itu, memang saya langsung tidak punya rasa hormat kepada abang-abang dan kakak-kakak. Kepada saya, kehadiran mereka menyusahkan hidup saya."
"Hantarlah abang-abang dan kakak-kakak ke rumah kebajikan, mak." Saya pernah mengusulkan kepada mak, ketika saya berusia sepuluh tahun."Lepas itu, mak dan ayah boleh hidup senang-lenang macam mak dan ayah orang lain. Mirah pun takkan rasa terganggu lagi."
"Mereka anak-anak mak, Mirah. Jadi, maklah yang patut jaga mereka, bukan petugas-petugas di rumah kebajikan." Begitu reaksi mak setiap kali saya mencadangkan hal itu.
"Saya langsung tidak menghormati, apatah lagi mengagumi pendirian mak.Mak memang sengaja menempah masalah. Mak tidak menghargai jalan keluar yang telah sedia terentang di hadapannya."
"Rasa geram dan marah saya sampai ke puncaknya, semasa saya berusia dua belas tahun. Pada hari itu, mak demam teruk hingga tidak dapat bangun. Ayah terpaksa ambil cuti untuk membawa mak ke klinik. Lalu, saya ditinggalkan untuk menjaga abang-abang dan kakak-kakak di rumah.Sebelum meninggalkan rumah, biarpun dalam keadaan yang lemah, berkali-kali mak sempat berpesan kepada saya, agar jangan lupa memberi abang-abang dan kakak-kakak makan, dan menukar kain lampin mereka."
Suasana dewan terus sunyi. Hadirin masih khusyuk mendengar cerita gadis itu.
"Itulah kali pertama saya ditinggalkan bersama-sama abang-abang dan kakak-kakak, selama lebih kurang lima jam. Jangka masa itu cukup menyeksakan. Kebetulan pada hari itu, abang-abang dan kakak-kakak benar-benar mencabar kesabaran saya. Entah mengapa Abang Long enggan makan. Jenuh saya mendesaknya. Abang Alang dan Kak Ngah pula asyik mencirit saja. Letih saya menukar kain lampin mereka. Abang Andak pula, asyik main air ketika saya memandikannya. Basah lencun baju saya dibuatnya. Kak Anjang pula, asyik sepahkan nasi dan tumpahkan air.Penat saya membersihkannya. "
"Apabila mak dan ayah pulang, saya sudah seperti kain buruk, tubuh saya lunyai. Saya sudah tidak berupaya melihat muka mak dan ayah. Saya terus melarikan diri ke rumah ibu kandung saya, yang terletak di sebelah rumah mak. Begitulah lazimnya. Apabila fikiran saya terlalu kacau, saya akan ke rumah ibu untuk mencari ketenangan."
"Ibu!" Saya menerpa masuk lalu memeluk ibu. "Kenapa ibu bagi Mirah kepada mak? Kalau ya pun ibu tidak suka Mirah, bagilah Mirah pada orang lain yang lebih menyayangi Mirah, bukan mak."
"Mirah!" Ibu merangkul saya. " Kan dah berkali-kali ibu tegaskan yang ibu bagi Mirah kepada mak bukan kerana ibu tak sayang Mirah."
"Lazimnya ibu akan membuka kembali lipatan sejarah hidupnya apabila situasi itu berlaku. Ibu ialah kakak mak. Ibu sakit teruk setelah melahirkan saya. Selama berbulan-bulan ibu terlantar di hospital, mak yang telah menjaga saya. Setelah ibu sembuh, ibu dapat lihat sendiri betapa gembiranya mak dapat menjaga seorang anak normal.
Justeru, ibu tidak sampai hati hendak memisahkan kami."
"Ibu telah berasa betapa nikmatnya menjaga tujuh orang anak yang pintar dan cerdas. Jadi, biarlah nikmat itu turut dirasakan oleh mak pula dengan menjaga Mirah. Lagipun, dengan menyerahkan Mirah kepada mak, ibu masih dapat melihat Mirah membesar di hadapan mata ibu, walaupun Mirah tinggal bersama-sama mak. Dari pemerhatian ibu, ibu rasa, mak lebih menyayangi Mirah berbanding dengan anak anaknya yang lain."
"Sayang apa? Ibu tahu tak yang rumah tu macam neraka bagi Mirah? Ibu tahu tak yang Mirah ni tak ubah seperti hamba di rumah tu?"
"Jangan besar-besarkan perkara yang kecil, Mirah. Ibu tahu sekali-sekala saja mak membebankan Mirah dengan kerja-kerja rumah dan tugas menjaga abang-abang dan kakak-kakak Mirah. Itu pun Mirah buat tidak sesungguh hati. Nasi mentahlah, lauk hanguslah, abang-abang, dan kakak-kakak kena lempanglah."
"Mak adu semua kepada ibu, Ya?" Saya masih mahu berkeras meskipun saya tahu saya bersalah.
"Mak jarang-jarang mengadu keburukan Mirah kepada ibu. Ibu sendiri yang kerap mengintai Mirah dan melihat bagaimana Mirah melaksanakan suruhan mak."
"Saya tunduk. Saya sudah tidak sanggup menentang mata ibu."
"Ibu malu, Mirah. Ibu mengharapkan kehadiran Mirah di rumah mak kau itu dapat meringankan penderitaan mak.
Tetapi, ternyata kehadiran Mirah di rumah itu menambahkan beban mak."
"Saya benar-benar rasa terpukul oleh kata-kata ibu."
"Ibu rasa, apa yang telah mak beri kepada Mirah, jauh lebih baik daripada apa yang diberi kepada anak-anaknya sendiri. Mirah dapat ke sekolah. Kakak-kakak dan abang-abang Mirah hanya duduk di rumah. Mirah dapat banyak pakaian cantik. Sedang anak-anak mak yang lain pakaiannya itu-itulah juga. Setiap kali Mirah berjaya dalam peperiksaan, mak sungguh gembira. Dia akan meminta ibu tolong menjaga abang-abang dan kakak-kakak kerana dia nak lihat Mirah terima hadiah."
"Saya tidak sanggup mendengar kata-kata ibu selanjutnya, bukan kerana saya tidak mengakui kesalahan saya, tetapi kerana saya benar-benar malu."
"Saya meninggalkan rumah ibu bukan kerana berasa tersisih daripada ibu kandung sendiri, atau berasa kecewa sebab tidak mendapat pembelaan yang diharap- harapkan. Saya meninggalkan rumah ibu dengan kesedaran baru." "Sesampainya saya ke rumah tempat saya berteduh selama ini,saya dapati mak yang belum sembuh betul sedang melayan kerenah abang-abang dan kakak-kakak dengan penuh sabar. Saya terus menghilangkan diri ke dalam bilik kerana saya dihantui oleh rasa bersalah. Di dalam bilik, saya terus resah-gelisah. "
"Mirah," panggilan lembut mak seiring dengan bunyi ketukan di pintu bilik saya. "Mirah."
"Saya cepat-cepat naik ke atas katil dan memejam mata, pura-pura tidur."
"Sejurus kemudian, terdengar bunyi pintu bilik saya dibuka. "Mirah dah tidur rupa-rupanya! Kesian. Tentu Mirah letih menjaga abang-abang dan kakak- kakak semasa mak, ke klinik siang tadi. Maafkan mak, sayang. Mak tahu Mirah masih terlalu muda untuk memikul beban seberat itu. Tapi, keadaan benar- benar terdesak pagi tadi, Mirah. Mak janji, lain kali mak tak akan kacau Mirah lagi. Mak akan meminta ibu atau orang lain menjaga abang- abang dan kakak-kakak kalau mak terpaksa tinggalkan rumah"
Sepanjang mak berkata-kata itu, tangan mak terus mengusap-usap dahi saya. Suara mak tersekat-sekat. Saya terlalu ingin membuka mata dan menatap wajah mak ketika itu.
"Mirah, mak tahu Mirah tak bahagia tinggal bersama-sama mak."
Suatu titisan air mata gugur di atas dahi saya. Kemudian, setitik lagi gugur di atas pipi saya. Selepas itu, titisan-titisan itu kian rancak gugur menimpa serata muka dan leher saya.
"Walau apa pun tanggapan Mirah kepada mak, bagi mak, Mirah adalah segala-galanya. Mirah telah menceriakan suasana dalam rumah ini. Mirah telah menyebabkan mak berasakan hidup ini kembali berharga. Mirah telah. .."
"Mak!" Saya lantas bangun lalu memeluk mak. Kemudian, tiada kata-kata yang lahir antara kami. Yang kedengaran hanyalah bunyi sedu-sedan dan esak tangis.
Peristiwa pada hari itu dan, pada malamnya telah mengubah pandangan saya terhadap mak, abang-abang dan kakak-kakak. Saya mula merenung dan menilai keringat mak. Saya mula dapat menerima keadaan kakak- kakak dan abang- abang serta belajar menghormati dan, menyayangi mereka.
Keadaan dewan menjadi begitu sunyi seperti tidak berpenghuni sejak gadis itu berbicara.
Setelah meraih kejayaan cemerlang dalam peperiksaan penilaian darjah lima , saya telah ditawarkan untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat menengah, di sebuah sekolah berasrama penuh. Saya telah menolak tawaran tersebut.
"Kenapa Mirah tolak tawaran itu?"
"Bukankah di sekolah berasrama penuh itu Mirah boleh belajar dengan sempurna?"
"Betul tu, Mirah. Di sana nanti Mirah tak akan berdepan dengan gangguan daripada abang-abang dan kakak-kakak! "
"Mirah tak menyesal ke, kemudian hari nanti?"
Bertubi-tubi mak dan ayah menyoal. Mata mereka tidak berkelip-kelip memandang saya.
"Mak, ayah." Saya menatap wajah kedua-dua insan itu silih berganti.
"Mirah ingin terus tinggal di rumah ini. Mirah ingin terus berdamping dengan mak, ayah, abang-abang dan kakak-kakak. "
"Tapi, boleh ke Mirah buat ulang kaji di rumah? Pelajaran di sekolah menengah itu, bukannya senang." Mak masih meragui keupayaan saya.
"Insya-Allah, mak. Mirah rasa, Mirah dapat mengekalkan prestasi Mirah semasa di sekolah menengah nanti," balas saya penuh yakin.
Mak dan ayah kehabisan kata-kata. Mulut mereka terlopong. Mata mereka terus memanah muka saya. Garis-garis kesangsian masih terpamer pada wajah mereka. Sikap mak dan ayah itu telah menguatkan azam saya untuk terus menjadi pelajar cemerlang, di samping menjadi anak dan adik yang baik.
Selama di sekolah menengah, mak sedapat mungkin cuba membebaskan saya daripada kerjakerja memasak dan mengemas rumah, serta tugas menjaga makan pakai abang-abang dan kakak-kakak kerana takut pelajaran saya terganggu. Sebaliknya saya lebih kerap menawarkan diri untuk membantu, lantaran didorong oleh rasa tanggungjawab dan timbang rasa.
Gadis yang bernama Nurul Humairah itu terus bercerita dengan penuh semangat, apabila melihatkan hadirin di dalam dewan itu mendengar ceritanya dengan penuh minat.
"Saya terpaksa juga meninggalkan rumah sewaktu saya melanjutkan pelajaran di Universiti Kebangsaan Malaysia . Di sana saya membuat pengkhususan dalam bidang pendidikan khas. Bidang ini sengaja saya pilih kerana saya ingin menabur bakti kepada segelintir pelajar yang kurang bernasib baik. Di samping itu, pengetahuan yang telah saya peroleh itu, dapat saya manfaatkan bersama untuk abang-abang dan kakak-kakak. "
"Kini, telah setahun lebih saya mengharung suka duka, sebagai seorang guru pendidikan khas di kampung saya sendiri. Saya harus akui,segulung ijazah yang telah saya miliki tidak seberapa nilainya, berbanding dengan mutiara-mutiara pengalaman yang telah mak kutip sepanjang hayatnya."
"Sekarang, saya lebih ikhlas dan lebih bersedia untuk menjaga abang-abang dan kakak-kakak. Pun begitu, hati ini sering tersentuh apabila beberapa kali saya terdengar perbualan mak dan Ayah."
"Apa akan jadi kepada kelima-lima orang anak kita itu lepas kita tak ada, bang?" suara mak diamuk pilu.
Ayah akan mengeluh, kemudian berkata, "Entahlah. Takkan kita nak harapkan Mirah pula?"
"Mirah bukan anak kandung kita." Mak meningkah. "Kita tak boleh salahkan dia kalau dia abaikan abang-abang dan kakak-kakaknya. "
"Mirah nak tegaskan di sini, mak, yang Mirah akan membela nasib abang-abang dan, kakak-kakak lepas mak dan ayah tak ada. Ya, memang mereka bukan saudara kandung Mirah. Tapi, tangan yang telah membelai tubuh Mirah dan tubuh mereka adalah tangan yang sama. Tangan yang telah menyuapkan Mirah dan mereka, juga tangan yang sama. Tangan yang memandikan Mirah dan mereka, adalah tangan yang sama, tangan mak."
Kelihatan gadis yang berkebarung ungu, berbunga merah jambu itu, tunduk sambil mengesat air matanya dengan sapu tangannya. Kebanyakan hadirin, khususnya wanita turut mengesat air mata mereka.
Gadis itu menyambung bicaranya. Tiga bulan lalu, saya terbaca mengenai pencalonan anugerah "Ibu Misali" dalam akhbar. Saya terus mencalonkan mak, di luar pengetahuannya. Saya pasti, kalau mak tahu, dia tidak akan merelakannya. Saya sendiri tidak yakin yang mak akan terpilih untuk menerima anugerah ini, sebab anak- anak mak bukan terdiri daripada orang-orang yang disanjung masyarakat, seperti lazimnya anak- anak "Ibu Misali" yang lain.
"Lorong dan denai kehidupan yang orang-orang seperti mak lalui mempunyai banyak duri dan, ranjau berbanding dengan ibu-ibu lain. Betapa keimanan mak tidak tergugat biarpun berdepan dengan dugaan yang sebegini hebat. Tiada rasa kesal. Tiada rasa putus asa. Tidak ada salah-menyalahkan antara mak dan ayah."
"Maafkan Mirah sekali lagi, mak. Hingga ke saat- saat terakhir tadi, mak masih tidak menyenangi tindakan Mirah mencalonkan mak, untuk menerima anugerah ini. Mak merasakan diri mak terlalu kerdil lebih-lebih lagi setelah mak mendengar pengisahan "Ibu Misali" pertama, kedua dan ketiga. Berkali-kali mak tegaskan yang mak menjaga anak-anak mak bukan kerana mahukan anugerah ini, tapi kerana anak-anak adalah amanah Tuhan."
"Saya ingin jelaskan di sini bahawa saya mencalonkan mak untuk anugerah ini, bukan dengan tujuan merayu simpati. Saya cuma berharap kegigihan dan ketabahan mak akan dapat direnung oleh ibu-ibu lain, terutama ibu-ibu muda yang senang-senang mendera dan mencampakkan anak mereka yang cornel, segar-bugar serta sempurna fizikal dan, mental."
"Sebagai pengakhir bicara, sekali lagi saya ingin merakam penghargaan saya kepada pihak penganjur, kerana telah mempertimbangkan mak saya sebagai salah seorang penerima anugerah "Ibu Misali" tahun ini. Semoga pemilihan mak ini akan memberi semangat baru kepada ibu-ibu lain yang senasib dengan mak."
"Sekian, wassalamualaikum warahmatullah. "
Gadis itu beredar meninggalkan pembesar suara.
Penku telah lama terbaring. Buku notaku telah lunyai dek air mataku sendiri. Bahuku dienjut-enjut oleh sedu- sedanku. Pandanganku menjadi kabur. Dalam pandangan yang kabur-kabur itu, mataku silau oleh pancaran cahaya kamera rakan semejaku. Aku segera mengangkat kameraku dan menangkap gambar secara rambang tanpa mengetahui sudut mana atau, apa sebenarnya yang telah menarik perhatian wartawan-wartanan lain.
'Bertenang. Kau di sini sebagai pemberita. Kau seharusnya berusaha mendapat skop yang baik, bukan dihanyutkan oleh perasaan kau sendiri.'Terdengar pesanan satu suara dari dalam diriku.
Lantas, aku mengesat air mataku. Aku menyelak buku notaku mencari helaian yang masih belum disentuh oleh air mataku. Aku capai penku semula. 
"Demikianlah kisah pelayaran seorang ibu di samudera kehidupan yang tidak sunyi dari ombak dan badai. Sekarang, dijemput Yang Berbahagia Puan Sri Salwa Najwa dengan diiringi oleh Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan "Ibu Mithali" untuk menyampaikan anugerah "Ibu Mithali" serta beberapa hadiah iringan kepada Puan Afifah Rashid. Yang Berbahagia Puan Sri dipersilakan. "
Nurul Humairah membantu maknya bangun. Kemudian, dia memimpin maknya melangkah ke arah Yang Berbahagia Puan Sri Salwa Najwa. Lutut maknya menggeletar. Namun begitu kerana dia tidak berdaya menahan perasaannya dia terduduk kembali di atas kerusi.
Melihatkan itu, Yang Berbahagia Puan Sri Salwa Najwa sendiri datang mendapatkan Puan Afifah, lalu mengalungkan pingat itu. Setelah itu, beliau menyampaikan beberapa hadiah iringan. Air mata Puan Afifah berladung.
Tepukan gemuruh bergema dari segenap penjuru dewan. Sejurus kemudian, seorang demi seorang penerima anugerah "Ibu Mithali" sebelumnya, naik ke pentas bersalaman dan berpelukan dengan Puan Afifah. Bertambah lebatlah hujan air mata penerima anugerah "Ibu Mithali" yang terakhir itu. 

Anugerah ibu mithali - 090413

Teks : Norazira Mohamed
Gambar : Carian Google

Anugerah ibu mithali? Apa itu anugerah ibu mithali? Ibu mithali ialah satu pengiktirafan yang diberi oleh YADIM buat para ibu yang telah melahirkan cendekiawan dan pemimpin terbilang. Daripada apa yang saya dapati di blog YADIM iaitu http://www.yadim.com.my, anugerah ibu mithali ini diberikan berdasarkan beberapa kriteria. 
Antaranya ialah :



  1. Seorang ibu yang mempunyai sifat-sifat takwa dan pengorbanan dalam menjayakan cita-cita memperkembangkan Islam dan mempunyai ciri-ciri umul mukminah;
  2. Ibu unggul dalam keluarga bahagia dengan suasana dan lingkungan kehidupan Islam;
  3. Ibu yang mendidik anak-anaknya hingga dengan pendidikan itu, mereka dapat memberikan sumbangan baik kepada masyarakat;
  4. Ibu yang terkenal dengan kebolehan dan berjasa kepada masyarakat sekitar.
Selain daripada kriteria diatas, terdapat juga perkara-perkara lain yang diambil kira iaitu :

  1. Had umur mestilah 50 tahun ke atas;
  2. Calon-calon hendaklah mempunyai anak yang masih hidup sekurang-kurangnya lima orang;
  3. Kejayaan mendidik anak-anak dalam pelajaran keagamaan serta sumbangan anak-anak kepada masyarakat adalah diutamakan;
  4. Sumbangan calon kepada masyarakat;
  5. Keharmonian dalam kehidupan berumahtangga;
  6. Penilaian dan tanggapan masyarakat terhadap ketokohan calon;
  7. Perwatakan calon berdasarkan ciri-ciri keIslaman/ sifat-sifat takwa dan pengorbanan
  8. Pendidikan yang diperoleh.
Anugerah Ibu Mithali ini bertujuan membuktikan bahawa didikan yang berlandaskan ajaran agama Islam dapat mencorak masa depan anak-anak menjadi anak yang baik. Ia juga boleh dijadikan teladan kepada masyarakat dalam membimbing dan mendidik anak-anak sehingga dapat berbakti kepada bangsa, agama dan negara. Selain itu, ianya juga memberi kesedaran kepada kaum wanita dan masyarakat tentang betapa pentingnya tanggungjawab dan peranan seorang ibu. 

Diharapkan juga dengan adanya anugerah ini, dapatlah dijadikan tauladan dan juga pedoman buat ibu-ibu muda dalam mendidik anak-anak supaya boleh melahirkan insan yang berjaya dan cemerlang dunia dan akhirat. Selain itu, Islam juga sangat menyanjungi jasa seorang ibu. Ini dapat dilihat dari hadis tersebut : 

ADA seorang lelaki datang bertemu Rasulullah s.a.w., lalu bertanya: Wahai Rasulullah, siapakah orang yang paling berhak untuk aku hormati?
Baginda menjawab: Ibumu.
Lelaki itu kembali bertanya: Kemudian siapa?
Nabi menjawab: Ibumu.
Lelaki itu terus bertanya: Kemudian siapa?
Nabi menjawab lagi: Ibumu.
Sekali lagi lelaki itu bertanya: Kemudian siapa lagi?
Nabi menjawab pula: Kemudian bapamu.
(Hadis riwayat At-Tirmizi)

Pepatah melayu juga ada menyatakan "tangan yang menghayun buaian mampu mengegar dunia". Ini kerana disebalik kelembutan tangan menghayun buaian dan lemak merdu suara mendodoi anak, adanya seorang wanita berjiwa kental dan penyabar yang mampu melahirkan generasi yang cemerlang, gemilang dan terbilang. InsyaAllah...

Ada tak lagi yang ingat pada lagu ini??


Doa mudah belajar

Teks : Norazira Mohamed
Gambar : Carian Google


Dalam entri yang lepas, saya ada menceritakan tentang pentingnya berdoa. Didalam setiap perkara yang kita lakukan, adanya doa yang perlu kita baca. Bila bangun dari tidur, kita perlu membaca doa tidur. Bila kita hendak makan, adanya doa makan. Malah doa makan ini memang agak popular dikalangan kanak-kanak. Sejak bermulanya alam persekolah di tadika ataupun pra-sekolah, kanak-kanak memang diajarkan dengan doa makan. Maka, setiap kali hendak makan, kanak-kanak ini akan membaca doa makan dengan pelat bahasa kanak-kanak. Seronok mendengarnya. 

Doa 18
Doa Ketika Hendak Makan
Selain itu doa mudah belajar juga diajarkan sejak dari prasekolah lagi.

Doa untuk Mudah Belajar dan Tekun Mengulangkaji
Menurut satu riwayat daripada Ibnu Abbas, beliau berkata, ketika kami sedang duduk bersama Rasulullah, tiba-tiba datanglah Ali Bin Abi Talib r.a., lalu beliau berkata: “Wahai Rasulullah, al-Quran ini selalu hilang daripada ingatanku. Aku dapati diriku menghadapi masalah untuk mengingatiya dalam dadaku. Maka Rasulullah s.a.w. menganjurkan kepadanya menguatkan ingatan dengan petuanya iaitu bangun malam Jumaat pada sepertiga malam yang terakhir. Perkara ini telah dilakukan oleh Nabi Yusuf a.s. Jika tidak mampu, maka bangkitlah pada pertengahanya dan jika tidak mampu, maka bangkitlah pada sebelah awalnya. Solatlah empat rakaat, bacalah Surah Yaasin pada rakaat pertama, al-Dukhan pada rakaat kedua, al-Sajadah pada rakaat ketiga dan Tabarak pada rakaat keempat. Semuanya dibaca selepas al-Fatihah. Apabila selesai membaca tasyahud(takhiyat) akhir maka, pujilah Allah s.w.t. dan berselawatlah ke atas Nabi Muhammad s.a.w. dan mohonlah keampunan buat semua orang beriman dan orang yang telah mendahului dalam keimanan kepada Allah. Akhirnya bacalah doa di bawah.”
(Hadis Riwayat Tarmizi)

Cara Beramal

  1. Bangun pada Malam Jumaat pada sepertiga malam terakhir, pertengahan malam, pada awal malam dan dirikanlah Solat Sunat Hajat sebanyak 4 rakaat.
  2. Rakaat Pertama, bacalah Surah Yaasin selepas membaca Al-Fatihah.
  3. Rakaat Kedua, bacalah Surah Al-Dukhan pada rakaat selepas membaca Al-Fatihah.
  4. Rakaat Ketiga, bacalah Surah Al-Sajadah selepas membaca Al-Fatihah.
  5. Rakaat Keempat, bacalah Tabarak(Surah Al-Mulk) selepas membaca Al-Fatihah.
  6. Selepas selesai takhiyat akhir, pujilah Allah s.w.t. dan berselawat ke atas Nabi Muhammad s.a.w. dan mohonlah keampunan buat semua orang beriman dan yang telah mendahului dalam keimanan kepada Allah s.w.t.
  7. Berselawat ke atas Nabi pada pembuka(awal) dan penutup(akhir) doa.
  8. Baca doa di bawah.


بسم آلله الرحمن الرحيم
Maksudnya: “Ya Allah, kasihanilah aku dengan (mengurniakan kepadaku keampunan) meninggalkan maksiat selagi aku hidup, dan kasihanilah aku dari memberatkan diriku dengan perkara-perkara yang tidak penting bagiku, dan kurniakanlah kepadaku anugerah melihat perkara yang Engkau suka. Ya Allah, Yang Maha Pencipta langit dan bumi, Yang Memiliki keagungan, kemuliaan dan kekuasaan yang tidak pernah luput, aku memohon kepada-Mu Ya Allah, Yang Maha Pemurah dengan kekuasaan-Mu dan cahaya-Mu agar menjadikan aku mampu menghafaz kitab-Mu sebagaimana yang Engkau ajarkan. Dan kurniakanlah kepadaku (kesempatan) untuk membacanya sebagaiman yang Engkau kehendaki, Ya Allah, Yang Mencipta langit dan bumi, Yang Memiliki keagungan, kemuliaan dan kekuasaan yang tidak pernah luput, aku memohon kepada-Mu Ya Allah, Yang Maha Pemurah dengan kekuasaan-Mu agar menjadikan penglihatanku terang dengan kitab-Mu, agar dilepaskan hatiku (dari belenggunya) dengan kitab-Mu itu, dan dilapangkan dengannya dadaku, dan dibersihkan dengannya tubuhku, sesungguhnya tiada siapa yang sebenarnya dapat memberikan pertolongannya selain-Mu, dan mendatangkannya selain Engkau. Dan tiada daya upaya melainkan dengan Allah yang Maha Tinggi lagi Maha Agung.”

Wallahua'lam...

Apa itu Doa - 080413

Teks : Norazira Mohamed
Gambar : Carian Google


Didalam Islam, kita diajarkan supaya berdoa dalam melakukan apa jua perkara. Malah bermulanya mata kita terbuka di pagi hari, doa bangun tidur kita panjatkan tanda syukurnya kita masih lagi diberi peluang menghirup udara yang diberikan oleh Allah S.W.T. 

Apa itu doa? Doa adalah bentuk komunikasi kita dengan Pencipta kita, Allah SWT. Sebagai hambaNya, adalah menjadi satu keperluan bagi kita untuk berdoa kerana doa adalah permohonan yang dipanjatkan daripada kita kepada Allah Yang Maha Tinggi.

Menurut Ustaz Zahazan dalam bukunya yang bertajuk "Andainya engkau tahu", terdapat beberapa petua supaya doa kita dimakbulkan.

Antara petua-petuanya ialah:
  1. Berdoa dengan ikhlas kepada Allah SWT.
  2. Memulakan doa dengan pujian kepada Allah SWT dan selawat ke atas Rasulullah SAW.
  3. Mengakhiri doa dengan pujian kepada Allah SWT dan selawat ke atas Baginda Rasulullah SAW.
  4. Bersungguh-sungguh ketika berdoa, menghadirkan hati, dan meyakinkan diri pada penerimaannya oleh Allah SWT.
  5. Berdoa dengan khusyuk dan rendah diri; sabar; penuh pengharapan; dan mengangkat kedua tangan.
  6. Sentiasa berdoa; sama ada susah atau senang
  7. Tidak berdoa tentang keburukan; tidak mendoakan keburukan orang lain.
  8. Tidak berdoa di tempat maksiat.
  9. Merendahkan suara
  10. Berdoa dengan mengulangi "Ya Rabb" sebanyak 3 kali.
  11. Menghadap ke arah kiblat.
  12. Berdoa dalam keadaan berwuduk.
  13. Bertaubat kepada Allah SWT sebelum memohon hajat.
  14.  Tidak bersajak dalam doa; menggunakan ayat yang ringkas tetapi penuh bermakna
  15. Menyeru Allah dengan nama-namaNya yang mulia.
  16. Makan dan minum dari sumber yang halal.
  17. Melakukan usaha menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran
  18. Berdoa untuk diri sendiri sebelum mendoakan orang lain.
  19. Menghimpunkan anak jari kesemuanya kecuali ibu jari.
  20. Mengaminkan doa dan menyapu muka dengan tangan setelah selesai berdoa.
MasyaAllah, didalam berdoa pun ada petua-petua yang perlu diikuti. Marilah kita sama-sama mengamalkan petua ini dan mudah-mudahan doa yang kita panjatkan ke Hadrat Ilahi diperkenankan Allah S.W.T. Amin...

Sebagai renungan kepada yang berkerja - 080413

Sumber : Email seorang kenalan

Menurut Datuk Dr. Fadilah Kamsah, terdapat beberapa kategori mereka yang datang berkerja

' Ada orang datang ke pejabat dengan perasaan penuh gembira & ceria, ada datang dengan perasaan 'biasa' dan ada datang dengan perasaan serba tak kena '.. Ingat lah, sesiapa yang datang hanya dengan perasaan 'biasa' saja, hasilnya adalah 'biasa'
saja, sesiapa yang datang dengan ceria, hasilnya akan jadi lebih daripada biasa
ataupun luar biasa. Bekerja la dengan ceria agar menghasilkan produktiviti yang luar
biasa yang akan menggembirakan orang di sekeliling kita. Semoga hasil itu akan
mendapat keberkatan Insyallah... ' 

Jadi renungi lah :- 
  1. Ada antara kita yang datang ke pejabat hanya memenuhi tanggung jawab 'DATANG BEKERJA' tapi hampeh, hasilnya macam kita 'TAK DATANG' kerja. 
  2. Ada kala kita rasa kita SIBUK SANGAT, rupanya kita hanya 'KELAM KABUT'. 
  3. Adakala kita rasa kita PRIHATIN', tapi rupanya kita BUSY BODY 
  4. Adakala kita rasa kita BERFIKIRAN TERBUKA (open minded) and CAKAP TERUS TERANG (outspoken) tapi rupanya kita KURANG PENG'AJAR'AN. 
  5. Adakala kita rasa kita berfikiran KRITIS rupanya kita hanya lebih kepada KRITIK yang mencipta KRISIS. 
  6. Adakala kita rasa kita ingin menjadi LEBIH MESRA tapi rupanya kita di lihat lebih MENGADA 
  7. Adakala kita suka bertanya 'KENAPA DIA NI MACAM TAK ADA KERJA', adalah lebih baik kita tanya 'APA LAGI KERJA YANG BOLEH AKU BUAT' 

Pejam mata dan renunglah diri, kalau kita perlu melakukan ANJAKAN PARADIGMA, maka lakukanlah SEGERA!!!, Tapi manusia tetap manusia, sukar untuk berubah kerana kita selalu beranggapan kita lebih baik. Adakah dengan beranggapan begitu kita sememangnya terbaik? 

Maka marilah kita mula berubah. Mari kita mula senyum, ceria, mesra sesama kita dan tingkatkan kerjasama

dalam kerja, tak rugi kita semai rasa 'kekeluargaan' dalam tugasan. Kalau kita kurang kerja, cari lah kerja yang bolah membantu teman-teman yang lain.

Tak dapat gaji lebih pun tak apa sebab pahala dapat. Kita kumpul untuk akhirat nanti. Tapi kalau kita asyik dengki mendengki, nasib lah sebab dah ditentukan jalan yang sukar itu yang kita pilih..

Renungilah, berapa orang kawan kita dan berapa orang lawan kita. Nescaya itu la kayu pengukur diri yang sebaiknya...

"Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik"

Panduan terbaik mendidik anak lelaki.

Teks : Norazira Mohamed

Islam menitikberatkan kepada pentingnya peranan ibubapa dalam mendidik anak-anak, tidak kira samada anak lelaki ataupun perempuan. Seperti mana hadis Rasulullah S.A.W, " Anak itu ibarat seperti kain putih, ibu bapalah yang akan mencorakkannya menjadi Nasrani, Yahudi ataupun Majusi”. Daripada hadis ini, s udah jelas lagi terang, itulah tanggungjawab sebagai ibu bapa yang perlu digalas dengan penuh amanah dalam membawa anak-anak ini mengenal Allah yang menciptaNya.

Namun demikian, terdapat perbezaan dalam mendidik anak lelaki dan juga perempuan. Tidak dinafikan, ibubapa memang mempunyai peranan yang berbeza dalam mendidik anak-anak, khususnya bapa dalam memberikan perhatian dan bimbingan yang Islamik secara berterusan kepada anak khasnya anak lelaki. Antara didikan utama untuk anak lelaki adalah seperti berikut :

 
Walaubagaimanapun, menurut Dr. Harlina Halizah Siraj atau lebih dekenali sebagai Dr. Har, Naib Presiden Jemaah Islam Malaysia (JIM) antara peranan ibubapa dalam mendidik anak lelaki ialah :

1. Peranan Bapa


  • Balik awal dari tempat kerja dan mandikan anak jika masih dibawah umur 5 tahun.
  • Bawa anak bersiar-siar dan luangkan waktu bersamanya. Biasanya kanak-kanak suka dibawa ke taman-taman permainan.
  • Ajak anak bergasak ataupun bergumpal. Ini kerana anak lelaki lebih sukakan aktiviti lasak berbanding anak perempuan. Aktiviti begini boleh menguatkan lagi tali ikatan (bonding) diantara bapa dan anak.
  • Kebiasaannya bapa adalah idola atau 'role-model' kepada anak lelaki. Oleh yang demikian, apa sahaja yang bapanya lakukan akan diikuti oleh anak. Jika bapanya seorang perokok, maka kebarangkalian anaknya juga menjadi seorang perokok adalah sangat tinggi berbanding anak kepada bukan perokok. Oleh itu, seorang bapa perlulah menunjukkan contoh tauladan yang baik buat anak-anak.
  • Dukung anak atas bahu bagi membolehkan anak memandang melalui pemandangan bapanya.

2. Peranan ibu
  • Ibu hendaklah menunjukkan kasih sayang dan berlemah lembut kerana biasanya anak lelaki belajar MENGASIHI melalui ibunya.
  • Bagi mengeratkan lagi ikatan (bonding) antara ibu dan anak lelaki, ajaklah anak berbual mengenai apa sahaj. Ceritakan apa yang ibu lakukan dan minta pendapatnya dalam beberapa perkara.
  • Berikan pujian atas usahanya walaupun kecil.

Semoga kita sebagai ibubapa, memberikan yang terbaik dalam mendidik anak-anak tak kira samada lelaki ataupun perempuan. InsyaAllah di entri lain nanti, saya akan kongsikan pula panduan mendidik anak perempuan.

Tudung muslimah... Antara hukum dan fesyen - 040413

Sumber : Dipetik dari website Darulnuman

Bila wanita menjaga auratnya dari pandangan lelaki bukan muhram, bukan sahaja dia menjaga maruah dirinya, malah maruah wanita mukmin keseluruhannya. Harga diri wanita terlalu mahal. Ini kerana syariat telah menetapkan supaya wanita berpakaian longgar dengan warna yang tidak menarik serta menutup seluruh badannya dari kepala hingga ke kaki.

Kalau dibuat perbandingan dari segi harta dunia seperti intan dan berlian, ianya dibungkus dengan rapi dan disimpan pula di dalam peti besi yang berkunci. Begitu juga diumpamakan dengan wanita, Kerana wanita yang bermaruah tidak akan mempamerkan tubuh badan di khalayak umum. Mereka masih boleh tampil di hadapan masyarakat bersesuaian dengan garisan syarak. Wanita tidak sepatutnya mengorbankan maruah dan dirinya semata-mata untuk mengejar pangkat, darjat, nama, harta dan kemewahan dunia.

Menyentuh berkenaan pakaian wanita, alhamdulillah sekarang telah ramai wanita yang menjaga auratnya, sekurang-kurangnya dengan memakai tudung. Dapat kita saksikandi sana sini wanita mula memakai tudung. Pemakaian tudung penutup aurat sudah melanda dari peringkat bawahan hingga kepada peringkat atasan. Samada dari golongan pelajar-pelajar sekolah hinggalah kepada pekerja-pekerja pejabat-pejabat.

Walaupun pelbagai gaya tudung diperaga dan dipakai, namun pemakaiannya masih tidak lengkap dan sempurna. Masih lagi menampakkan batang leher, dada dan sebagainya. Ada yang memakai tudung, tetapi pada masa yang sama memakai kain belah bawah atau berseluar ketat dan sebagainya. Pelbagai warna dan pelbagai fesyen tudung turut direka untuk wanita-wanita Islam kini.

Ada rekaan tudung yang dipakai dengan songkok di dalamnya, dihias pula dengan kerongsang (broach) yang menarik. Labuci warna-warni dijahit pula di atasnya. Dan berbagai-bagai gaya lagi yang dipaparkan dalam majalah dan suratkhabar fesyen untuk tudung. Rekaan itu kesemuanya bukan bertujuan untuk mengelakkan fitnah, sebaliknya menambahkan fitnah ke atas wanita.

Walhal sepatutnya pakaian bagi seorang wanita mukmin itu adalah bukan sahaja menutup auratnya, malah sekaligus menutup maruahnya sebagai seorang wanita. Iaitu pakaian dan tudung yang tidak menampakkan bentuk tubuh badan wanita, dan tidak berhias-hias yang mana akan menjadikan daya tarikan kepada lelaki bukan muhramnya. Sekaligus pakaian boleh melindungi wanita dari menjadi bahan gangguan lelaki yang tidak bertanggungjawab.

Bilamana wanita bertudung tetapi masih berhias-hias, maka terjadilah pakaian wanita Islam sekarang walaupun bertudung, tetapi semakin membesarkan riak dan bangga dalam diri. Sombong makin bertambah. Jalan mendabik dada. Terasa tudung kitalah yang paling cantik, up-to-date, sofistikated, bergaya, ada kelas dan sebagainya. Bertudung, tapi masih ingin bergaya.



Kesimpulannya, tudung yang kita pakai tidak membuahkan rasa kehambaan. Kita tidak merasakan diri ini hina, banyak berdosa dengan Tuhan mahupun dengan manusia. Kita tidak terasa bahawa menegakkan syariat dengan bertudung ini hanya satu amalan yang kecil yang mampu kita laksanakan. Kenapa hati mesti berbunga dan berbangga bila boleh memakai tudung?

Ada orang bertudung tetapi lalai atau tidak bersembahyang. Ada orang yang bertudung tapi masih lagi berkepit dan keluar dengan teman lelaki . Ada orang bertudung yang masih terlibat dengan pergaulan bebas. Ada orang bertudung yang masih menyentuh tangan-tangan lelaki yang bukan muhramnya. Dan bermacam-macam lagi maksiat yang dibuat oleh orang-orang bertudung termasuk kes-kes besar seperti zina, khalwat dan sebagainya.

Jadi, nilai tudung sudah dicemari oleh orang-orang yang sebegini. Orang Islam lain yang ingin ikut jejak orang-orang bertudung pun tersekat melihat sikap orang-orang yang mencemari hukum Islam. Mereka rasakan bertudung atau menutup aurat sama sahaja dengan tidak bertudung. Lebih baik tidak bertudung. Mereka rasa lebih bebas lagi.

Orang-orang bukan Islam pula tawar hati untuk masuk Islam kerana sikap umat Islam yang tidak menjaga kemuliaan hukum-hakam Islam. Walaupun bertudung, perangai mereka sama sahaja dengan orang-orang bukan Islam. Mereka tidak nampak perbezaan agama Islam dengan agama mereka.

Lihatlah betapa besarnya peranan tudung untuk dakwah orang lain. Selama ini kita tidak sedar diri kitalah agen bagi Islam. Kita sebenarnya pendakwah Islam. Dakwah kita bukan seperti pendakwah lain tapi hanya melalui pakaian.

Kalau kita menutup aurat, tetapi tidak terus memperbaiki diri zahir dan batin dari masa ke semasa, kitalah punca gagalnya mesej Islam untuk disampaikan. Jangan lihat orang lain. Islam itu bermula dari diri kita sendiri.


Ini tidak bermakna kalau akhlak belum boleh jadi baik tidak boleh pakai tudung. Aurat, wajib ditutup tapi dalam masa yang sama, perbaikilah kesilapan diri dari masa ke semasa. Tudung di luar tudung di dalam (hati). Buang perangai suka mengumpat, berdengki, berbangga, ego, riak dan lain-lain penyakit hati.

Walau apapun, kewajipan bertudung tidak terlepas dari tanggungjawab setiap wanita Muslim. Samada baik atau tidak akhlak mereka, itu adalah antara mereka dengan Allah. Amat tidak wajar jika kita mengatakan si polanah itu walaupun bertudung, namun tetap berbuat kemungkaran. Berbuat kemungkaran adalah satu dosa, manakala tidak menutup aurat dengan menutup aurat adalah satu dosa lain.

Kalau sudah mula menutup aurat, elak-elaklah diri dari suka bertengkar. Hiasi diri dengan sifat tolak ansur. Sentiasa bermanis muka. Elakkan pergaulan bebas lelaki perempuan. Jangan lagi berjalan ke hulu ke hilir dengan teman lelaki. Serahkan pada Allah tentang jodoh. Memang Allah sudah tetapkan jodoh masing-masing. Yakinlah pada ketentuan qada' dan qadar dari Allah.

Apabila sudah menutup aurat, cuba kita tingkatkan amalan lain. Cuba jangan tinggal sembahyang lagi terutama dalam waktu bekerja. Cuba didik diri menjadi orang yang lemah-lembut. Buang sifat kasar dan sifat suka bercakap dengan suara meninggi. Buang sikap suka mengumpat, suka mengeji dan mengata hal orang lain. jaga tertib sebagai seorang wanita. Jaga diri dan maruah sebagai wanita Islam. Barulah nampak Islam itu indah dan cantik kerana indah dan cantiknya akhlak yang menghiasi peribadi wanita muslimah.

Barulah orang terpikat untuk mengamalkan Islam. Dengan ini, orang bukan Islam akan mula hormat dan mengakui "Islam is really beautiful." Semuanya bila individu Islam itu sudah cantik peribadinya. Oleh itu wahai wanita-wanita Islam sekalian, anda mesti mengorak langkah sekarang sebagai agen pengembang agama melalui pakaian.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...