Jumlah Pelawat

Showing posts with label Tips Pendidikan Awal. Show all posts
Showing posts with label Tips Pendidikan Awal. Show all posts

Pertengkaran anak-anak

Teks : Norazira Mohamed

Gambar : Carian Google


Anak pertama dan kedua saya lelaki. Kedua-duanya mempunyai perangai yang berbeza. Mereka juga suka bertengkar. Ah! Kadangkala bingit suasana dengan pertengkaran mereka. Bukannya hal yang besar pun. si Abang suka menyakat dan bergurau. Si Adik (Bang Ngah) pula tidak boleh menerima gurauan. Mulalah Bang Ngah menangis. Si Abang lagi suka, lagi disakatnya...


Ya, memang seperti kata orang tua-tua. Lain anak lain perangainya. Masing-masing dengan keunikan yang berbeza. Masing-masing dengan kekuatan dan kelemahan yang tidak sama. Jadi, tidak hairanlah andai mereka saling bersaing dan bertengkar. 

Namun, sebagai ibubapa, hal ini kadangkala menyebabkan tekanan yang berpanjangan. Seperti saya, setiap kali Abang dan Bang Ngah bertengkar, saya mula tertekan. Jadi, sebagai ibubapa, saya cuba untuk mengawal supaya keadaan ini tidak berterusan. Ada beberapa tips yang boleh dijadikan panduan.



Berikan batasan 
Pastikan anak-anak mengetahui batasan mengenai apa yang boleh dan tidak boleh. Fahamkan mereka tingkahlaku seperti bertengkar, memukul, mengherdik, mengambil mainan tanpa izin dan yang sewaktu dengannya adalah perbuatan yang salah. 




Pisahkan

Pisahkan mereka buat sementara waktu. Tempatkan di bilik atau ruangan berasingan. Ini dapat memberi mereka masa untuk bertenang dan akhirnya mereka akan kembali bermain bersama-sama.


Menjadi pendengar setia

Selidiki punca masalah. Tanya dan berikan mereka peluang untuk bercerita versi masing-masing. Dengarkan dengan teliti dan bagi solusi yang boleh diterima bersama.

Adil dengan setiap anak

Bagi mengelakkan rasa cemburu di kalangan anak-anak, luangkan masa bersama anak-anak secara adil. Cari masa untuk melakukan aktiviti bersama secara individu dan berikan perhatian yang penuh ketika bersama mereka. 




Pujian dan penghargaan

Jangan berlebihan dalam memuji salah seorang anak anda. Adillah dalam meberikan pujian walaupun Si Abang lagi mudah menolong dari Bang Ngah. Jika saya puji kedua-duanya, In Sya Allah, Bang ngah dengan sendiri juga rajin menolong. Puji setiap kebaikan mereka dan juga prestasi yang mereka raih dan tunjukkan yang anda bangga dengan pencapaian mereka.




Habiskan waktu bersama keluarga

Adalah penting sekiranya kita dapat menjalankan aktiviti yang boleh dilakukan bersama sebagai sebuah keluarga. Ini dapat memberikan mereka rasa saling menghargai dan salaing memiliki. 

Biarkan mereka menghadapi masalahnya sendiri

Kadang-kadang, saya biarkan sahaja Abang dan Bang Ngah menyelesaikan pertengkaran mereka sendiri asal sahaja tidak melibatkan keganasan dan tumbuk menumbuk. Walaupun Bang Ngah kadang kala datang mengadu, saya menggalakkan dia menyelesaikan sendiri dengan Abangnya dan Alhamdulillah, biasanya mereka boleh bermain bersama-sama semula dengan baik.

Menghadapi dengan berlapang dada

Kadang-kala kita sebagai ibu bapa merasakan bahawa perengkaran mereka ini tidak akan berakhir. Asyik jumpa je nak bergaduh. Tapi, pertengkaran mereka akan berakhir juga seiring dengan berjalannya waktu. Oleh itu, berlapang dadalah dan jalankan peranan kita sebagai oarng tengah dengan sabar. 


Semoga dengan beberapa panduan diatas, pertengkaran anak-anak bukan lagi menjadi isu besar buat ibu bapa pada zaman moden ini. Yang penting, bagaimana kita berperanan dalam mendamaikan kedua belah pihak. Wallahu a'lam...


Al-Quran Al-Karim dengan panduan Waqaf & Ibtida’ merupakan satu panduan waqaf (memberhentikan bacaan) dan ibtida’ (memulakan bacaan) yang pertama di Malaysia dan juga yang pertama seumpamanya di dunia. Keistimewaan al-Quran ini adalah menggunakan sistem warna yang jelas dan menarik bagi memudahkan pembaca al-Quran memberhentikan bacaan dan memulakan bacaan dengan sempurna.

Panduan memuji - Bahagian 2

Teks : Norazira Mohamed
Gambar : Carian Google

(Sambungan dari entri sebelumnya)

6. Tidak terlalu berlebihan dalam memberikan pujian

Pujian yang diberikan mestilah yang realistik bukannya yang melambung sehingga susah anak-anak hendak mempercayai kebenarannya. Contohnya anda puji anak anda pandai dan mampu untuk mendapat nombor satu didalam kelas. Mungkin susah untuk anak anda mempercayainya kerana masih ada lagi matapelajarannya yang lemah. Seeloknya anda katakan bahawa anda gembira keran dia sudah menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan dalam kebanyak matapelajaran dan sekiranya dia berusaha lagi tidak mustahil dia akan mendapat nombor 5 keatas didalam kelas.

7. Sesuaikan kata-kata pujian dengan taraf pemikiran anak-anak

Untuk anak-anak sekolah rendah, bagi mendorong anak-anak belajar dengan lebih rajin lagi bagi matapelajaran yang lemah, mungkin ibubapa boleh memberikan pujian begini, "Wah, 2 matapelajaran Aina dapat 90%, hanya 3 je yang dapat 70%. Tak mengapa, ibu akan bagi hadiah bagi matapelajaran yang mendapat 90%". Ini dapat mendorong Aina untuk memperbaiki matapelajarannya yang lemah itu. Jangan dikatakan, "Wah pandai Aina, nati ibu belikan hadiah apa sahaja yang Aina mahu". Ini tidak dapat mendorong Aina untuk berusaha lagi dimasa akan datang. Bimbang pula dia merasa bangga dengan pencapaiannya itu.


8. Pastikan pujian tidak di 'off-set'kan oleh kata-kata negatif

Pastikan pujian anda memberikan kesan yang positif dan jangan diakhiri dengan sesuatu yang negatif. Seperti contoh, anda berkata kepada anak anda, "Wah, bagus adik hari ini. Adik memberikan perhatian masa ibu mengajar dan berjaya menyiapkan kerja sekolah adik. Alangkah bagusnya andai dari dulu lagi adik bersikap begini, ini tidak asyik kelam kabut je setiap hari. Ibu ajar pun kamu main-main" Pujian itu pada awalnya baik, namun pengakhirannya ada kritikan yang akan melenyapkan kesan positif tadi.

9. Berikan pujian dengan segera selepas sesuatu kebaikan dilakukan

Elok diberikan respon yang segera untuk kelakuan yang positif supaya kelakuan itu nanti mudah dibentuk menjadi tabiat. Seperti contoh, "Ibu suka dan sangat menghargai tiap kali Amar memberitahu ibu kemana Amar hendak pergi setiap hari. Tidaklah ibu risau bila Amar tiada sebab ibu tahu kemana Amar pergi".

                                     

10. Pujian yang Harus Dihindari

Janganlah berlebihan dalam memberikan pujian kepada anak-anak yang telah memang terbukti bakatnya. Contohnya, anak anda memang berbakat dalam lukisan dan memang telah memenangi beberapa hadiah hingga keperingkat antarabangsa. Berpada-padalah memujinya kerana kata-kata pujian yang berterusan lama kelamaan nanti tidak akan memberikan erti apa-apa kepada mereka. 

Semoga tips ini bermanfaat buat ibubapa semua, teruslah berusaha mendampingi dan memuji mujahid-mujahid kecil ini semoga bisa membentuk peribadi Muslim/Muslimah yang unggul. 

Dapatkan Ensiklopedia Solat...



Kelebihan Ensiklopedia Solat ini:
  • Maklumat dan ilmu yang berkaitan dengan solat.
  • Mengandungi pelbagai keterangan daripada aspek fekah, falsafah, sejarah dan saintifik.
  • Setiap isi kandungan disampaikan dengan mengintegrasikan semua aspek ilmu yang amat sesuai dan bertepatan dari segi kontemporari atau semasa.
  • Disusun dengan pendekatan mesra pembaca.
  • Setiap kandungan disertakan dengan ilustrasi, foto, gambar rajah, peta minda dan jadual sebagai memudahkan kefahaman penjelasan kepada pembaca.
  • Turut memuatkan petikan hadis yang disertai dengan matan, sanad dan nombor hadis bagi memudahkan rujukan pembaca.
Tempah di sini.

3 langkah yang pertama

Teks : Norazira Mohamed
Gambar : Carian Google

Bang Chik telah dapat berjalan!! Seronok sangat rasanya. Mulanya 2 minggu lepas, dia dah boleh berdiri. Hanya berdiri tapi masih belum dapat melangkah kedepan. Hampir seminggu dia berlatih berdiri mengimbangkan badan. Selepas saya rasa yang dia dah cuba-cuba hendak melangkah  ke depan, saya pegangkan tangannya dan bantu dia mengatur langkah ke depan. Galakan demi galakan saya berikan. Sambil memegang tangannya sambil saya berkata, "teteh.. teteh.." Selepas 2-3 hari, saya pegang tangan dan lepaskan bila dia mula hendak melangkah. Akhirnya dia berjaya membuat 3 langkah pertama tanpa bantuan saya.


Sekarang, 9 langkah tanpa jatuh, Bang Ngah berjaya maju ke depan. Rasanya bila adiknya lahir Syawal nanti, dia dah boleh berlari.

Belajar berjalan merupakan momen penting dalam hidup seorang kanak-kanak. Apabila anak telah pandai berjalan, itu petanda bahawa dia telah meninggalkan zaman bayinya. Itu juga petanda bahawa dia telah mula belajar berdikari. Sebagai ibubapa, bagaimana kita boleh membantu anak-anak dalam mengembangkan kemahiran berjalan ini. Maklumat ini saya perolihi dari majalah PaMa yang bertarikh 3 Januari 2012. Antara yang boleh kita bantu ialah :
  1. Memastikan keadaan rumah yang selamat supaya anak tidak mendapat kecederaan pada sudut atau tangga semasa mengajarkannya berjalan.
  2. Apabila anak telah pandai merangkak, bantulah dia berjalan dengan memegang tangannya sehingga dia boleh berdiri tanpa terjatuh.
  3. Walaupun anak telah mula berdiri sendiri, tapi dia masih memerlukan bantuan untuk duduk dengan cara yang betul. Ajarkan dia duduk dengan membengkokkan kakinya supaya dia boleh duduk tanpa jatuh. Beri dia masa untuk mencubanya sendiri.
  4. Memastikan ada perabut yang boleh anak berpegang untuk mudah bergerak.
  5. Memegang tangannya supaya dia dapat belajar mengimbangi badannya dan galakkannya berjalan sambil memegang tangannya.
  6. Berada berdekatan dengannya untuk memudahkannya berpegang pada anada sebagai sokongan untuk dia lebih yakin berjalan lagi. Lagi pula, ianya memudahkan anda menangkapnya sekiranya dia hendak terjatuh.
  7. Jangan menggunakan walker kerana ianya boleh mengundang bahaya dan boleh menyebabkan kecederaan.
  8. Jangan pakaikannya kasut. Biarkan dia berjalan dipermukaan yang rata, kasar, sejuk, berpasir atau berumput. Kerapkan berkaki ayam. Ini membantu membantu anak anda memperbaiki keseimbangan badan.
  9. Membantu anak anda bersenam bagi meningkatkan koordinasi badannya dengan permainan fizikal yang menggalakkan ketangkasan.
  10. Bermain tolak dan tarik serta menendang dan membaling bola untuk meningkatkan koordinasi mata, tangan dan keseimbangan badan.
  11. Jangan memaksa sekiranya dia belum bersedia.
  12. Ajak anak berjalan disekitar rumah anda tapi jangan terlalu laju.
  13. Jangan sekali-kali meninggalkan anak sendirian kerana kemingkinan dia memerlukan bantua n atau terjatuh.


Dapatkan E-Iqra untuk anak anda.



 Maklumat lengkap sila klik di sini.

Panduan didikan anak-anak pra-sekolah mengikut perspektif Islam

Teks : Norazira Mohamed
Gambar: Carian Google

Islam amat menekan didikan awal kepada kanak-kanak bertujuan supaya perkembangan kanak-kanak itu seimbang diantara ilmu agama dan ilmu dunia. Menurut tokoh Ilmuwan Islam yang terkenal antara perkara yang perlu di ambil kira semasa membesarkan anak-anak ialah proses pembelajaran mereka bermula dari awal lagi iaitu sejak dilahirkan.

Imam al-Ghazali

Imam al-Ghazali menekankan bahawa kanak-kanak perlu :
  • Dididik sejak lahir dan di ajar mengenal huruf, menulis dan membaca
  • Diberi pendidikan agama berlandaskan al-Quran dan Hadis bagi membentuk peribadi mulia
  • Diberi latihan jasmanibagi membina kekuatantubuh badan, kecerdasan minda dan mengelakkan kemalasan
  • Dilatih mengamalkan budi pekerti yang mulia dan tabiat yang baik
  • Dilatih mempunyai sifat berani, merendah diri, sabar dan menghormati orang tua serta mentaati kedua ibubapa
  • Diberi nasihat ke atas kesalahan yang dilakukan dan dimarahi sekali sekala sahaja supaya mereka lebih menghormati orang tua
  • Dibimbing berkenaan kewajipan terhadap agama dan hukum agama Islam apabila mereka sudah cerdik dan berakal
  • Diawasi oleh ibu bapa kerana mereka mudah terpengaruh oleh persekitaran dan tingkah laku masyarakat.

Ibn Khaldun

Ibn Khaldun pula berpendapat kanak-kanak :

  • Perlu menggunankan masa belajar yang disusun dengan baik
  • Belajar menggunakan pancaindera dan diberi contoh yang mudah dan konkrit dalam pembelajaran mereka
  • Perlu didedahkan dengan contoh teladan yang baik
  • Diajar membaca al_Quran sebelum menghafalnya
  • Menerima bimbingan dengan lemah lembut, bukan melalui kekerasan
  • Mudah keliru, apabila diajar dua perkara dalam masa yang sama. Oleh yang demikian, hanya satu perkara pada satu jangka masa.

Sumber buku : Panduan kurikulum pra-sekolah, oleh Rohani Abdullah, Nani Menon dan Mohd Sharani Ahmad.

Panduan memberi nama kepada anak yang baharu lahir

Teks : Norazira Mohamed

Gambar : Carian Google

Mendapat cahaya mata merupakan saat yang paling manis buat ibu dan juga bapa. Apalagi jika cahaya mata tersebut merupakan anak pertama. Selepas kelahiran, ibubapa biasanya akan memberikan nama buat anak tersebut. Malah sebelum melahirkan pun, kebanyakan ibubapa telah pun memilih nama-nama yang sesuai untuk anak mereka.

Namun, didalam Islam, terdapat beberapa hukum-hukum yang penting dalam menamakan anak yang baharu lahir. Dipetik dari buku "Pendidikan Anak-Anak Menurut Pandangan Islam" hasil tulisan Abdullah Nasih 'Ulwan, ada 3 perkara yang perlu dilihat.



1. Bila masa anak itu diberi nama?

Sabda Rasulullah S.A.W.
كُلُّ غُلاَمٍ رَهِينٌ بِعَقِيقَةٍ تُذْبَحُ عَنْهُ يَوْمَ سَابِعِهِ، وَيُحْلَقُ وَيُسَمَّى
“Setiap anak kecil (bayi) dipertaruhkan dengan suatu aqiqah; disembelih untuknya pada hari ke tujuh, dicukur kepalanya dan diberi nama”. (Riwayat Imam Abu Daud, Tirmizi, an-Nasai dan Ibnu Majah dari Hasan r.a. dari Samurah bin Jundub r.a.)

Daripada hadis tersebut dapatlah disimpulkan bahawa disunatkan memberi nama kepada bayi pada hari ketujuh kelahirannya.

Namun, boleh juga dinamakan anak yang baharu lahir itu pada hari kelahiran sebagaimana yang diriwayatkan oleh Abu Musa al-Asy’ari r.a. yang menceritakan;

وُلِدَ لِي غُلاَمٌ، فَأَتَيْتُ بِهِ النَّبِيَّ -صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ- فَسَمَّاهُ: إِبْرَاهِيمَ، وَحَنَّكَهُ بِتَمْرَةٍ وَدَعَا لَهُ بِالْبَرَكَةِ
“Telah dilahirkan untukku seorang anak, lalu aku membawanya kepada Nabbi s.a.w., maka baginda menamakannya Ibrahim dan baginda mentahniknya dengan sebiji buah tamar serta baginda mendoakan keberkatan untuknya”. (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

Daripada kedua Hadis tersebut, adalah sunah menamakan bayi yang baharu lahir samada pada hari kelahirannya atau dilambatkan sehingga hari ketujuh kelahirannya.


2. Nama-nama yang baik dan utama serta nama-nama yang keji dan patut dielakkan

Sebagai ibubapa, adalah wajib memberikan nama-nama yang elok buat anaknya seperti nama Abdullah dan Abdul Rahman, yang disukai oleh Allah S.W.T. Sebagaimana yang disabdakan oleh Rasulullah s.a.w.;

إنَّ أحَبَّ أسْمائكُمْ إلى اللّه عَزَّ وَجَلَّ عَبْدُ اللّه، وَعَبْدُ الرَّحْمَنِ
“Sesungguhnya nama yang paling disukai oleh Allah dari nama-nama kamu ialah Abdullah dan Abdul Rahman”. (Riwayat Imam Muslim dari Abdullah bin Umar r.a.)

Adalah disunatkan memberi nama yang baik dan elok kerana nama merupakan panggilan yang akan digunakan sepanjang hidupnya. Nabi s.a.w. bersabda;

إنَّكُمْ تُدْعَوْنَ يَوْمَ القِيامَةِ بأسْمائكُمْ وأسماءِ آبائِكُمْ فأحْسِنُوا أسْماءَكُمْ
“Sesungguhnya kamu sekelian akan diseru/dipanggil pada hari Kiamat dengan nama-nama kamu dan nama-nama bapa kamu. Oleh demikian, elokkanlah nama-nama kamu”. (Riwayat Imam Abu Daud dari Abu Dardak r.a.)

Setiap ibubapa wajib mengelakkan menamakan anak-anak dengan nama-nama yang tidak elok/buruk/mempunyai makna yang tidak baik. Rasulullah juga tidak menyukai nama yang buruk dan baginda akan menukarkan nama yang buruk kepada nama yang elok. Ibnu Umar r.a. menceritakan;

أَنَّ رَسُولَ اللهِ -صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ- غَيَّرَ اسْمَ عَاصِيَةَ. وَقَالَ: “أَنْتِ جَمِيلَةُ”
“Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. telah menukar nama (seorang perempuan bernama) ‘Ashiyah (yang bermaksud; perempuan yang engkar) di mana baginda berkata kepada (perempuan itu); ‘Kamu adalah Jamilah (bermaksud; yang indah)’”. (Riwayat Imam Muslim)

Nama-nama yang bersifat pesimis atau negatif juga perlu dielakkan demi menyelamatkan anak itu daripada terikut-ikut sifat negatifnya. Said bin al-Musayyab menceritakan bahawa bapanya -yang bernama Hazn (bermaksud; susah/sedih)- telah datang kepada Nabi s.a.w., lalu baginda bertanya kepadanya; ‘Apa nama kamu?’. Jawab bapaku; ‘Hazn’. Lalu Rasulullah berkata; ‘Kamu adalah Sahl (yakni Nabi menukar namanya kepada Sahl yang bermaksud; mudah). Namun bapaku berkata; ‘Aku tidak akan menukar nama yang diberikan kepadaku oleh bapaku’. Said berkata; ‘(Dengan kedegilannya itu) maka berterusanlah huzunah (yakni kepayahan/kesedihan) membelenggu keluarga kami selepasnya’”. (Riwayat Imam Bukhari dari Said bin al-Musayyab dari bapanya)

Selain itu, antara nama yang perlu dielakkan ialah nama yang khusus bagi Allah seperti al-Ahad, al-Samad, al-Khaliq, al-Razaq dan seumpamanya. Baginda bersabda;

أَغْيَظُ رَجُلٍ عَلَى اللهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ، وَأَخْبَثُهُ، رَجُلٌ كَانَ يُسَمَّى مَلِكَ الأَمْلاَكِ، لاَ مَلِكَ إِلاَّ اللَّهُ
“Lelaki yang paling dimukai oleh Allah pada hari kiamat dan paling hina ialah lelaki yang diberi nama Malikul-Amlak (kerana hakikatnya) tiada raja melainkan Allah”. (Riwayat Imam Muslim dari Abu Hurairah r.a.)

Begitu juga, dimakruhkan memberi nama dengan nama-nama yang dijadikan tengok nasib seperti nama-nama yang diriwayatkan dalam sabda Nabi s.a.w.;

لاَ تُسَمِّيَنَّ غُلاَمَكَ يَسَاراً، وَلاَ رَبَاحاً، وَلاَ نَجِيحاً، وَلاَ أَفْلَحَ، فَإِنَّكَ تَقُولُ: أَثَمَّ هُوَ؟ فَلاَ يَكُونُ، فَيَقُولُ: لاَ”. إِنَّمَا هُنَّ أَرْبَعٌ، فَلاَ تَزِيدُنَّ عَلَيَّ.
“Janganlah kamu menamakan anak kamu Yasar (mudah), Rabah (untung), Najih (berjaya) dan Aflah (berjaya). Kerana sesungguhnya jika kamu bertanya seseorang; Apakah ada di sana (Yasar, Rabah dan sebagainya itu)? Lalu ia menjawab; ‘Tidak ada’. Sesungguhnya nama-nama itu hanya empat. Maka jangan kamu menambah ke atas apa yang aku sebutkan itu”. (Riwayat Imam Muslim dari Samurah bin Jundab r.a.)

Menurut Imam Nawawi, dimakruhkan nama-nama tersebut ialah kerana nama-nama tersebut berkemungkinan boleh mengelirukan orang lain dan boleh membawa kepada perbuatan menengok untung/nasib”. Contohnya apabila ditanya; ‘Adakah di sana ada Rabah (yang bermaksud; untung)?’, lalu dijawab; ‘Ada’. Apabila orang yang suka menengok/menilai nasib dengan suatu sempena atau kejadian mendengar jawapan ini, maka ia akan membuat andaian bahawa hari tersebut adalah hari untung).

Oleh yang demikian, Rasulullah menggalakkan umatnya memberikan nama-nama yang baik seperti nama Nabi-Nabi, Abdullah, Abdul Rahman dan sebagainya. Sabda Rasulullah s.a.w.;

تَسَمَّوا بأسْماءِ الأنْبِياءِ، وَأحَبُّ الأسْماءِ إلى اللّه تَعالى عَبْدُ اللّه وَعَبْدُ الرَّحْمَن، وأصْدَقُها: حَارِثٌ وَهمَّامٌ، وأقْبَحُها: حَرْبٌ وَمُرَّةُ
“Berilah nama dengan nama-nama para Nabi. Nama yang paling disukai oleh Allah ialah Abdullah dan Abdurrahman. Nama yang paling tepat (dengan hakikat manusia) ialah Harith dan Hammam, dan nama yang paling buruk ialah Harb dan Murrah”. (Riwayat Abu Daud, an-Nasai dan lain-lain dari Abi Wahb al-Jusyami r.a.)

Jabir bin Abdullah r.a. menceritakan; “Seorang lelaki dari kalangan kami baru memperolehi anak dan ia memberi nama anak itu ‘Muhammad’. Lalu kaumnya berkata kepadanya; ‘Kami tidak akan membiarkan kamu memberi nama dengan nama Rasulullah s.a.w.’. Maka lelaki ini pun pergi menemui Nabi s.a.w. dengan membawa anaknya di atas belakangnya. Ia bertanya Nabi; “Ya Rasulullah, dilahirkan untukku anak dan aku menamakannya ‘Muhammad’, lalu kaumku berkata kepadaku; ‘Kami tidak akan membiar kamu menamakan dengan nama Rasulullah s.a.w.”. Lantas Nabi menjawab;

تَسَمَّوْا بِاسْمِي، وَلاَ تَكْتَنُوا بِكُنْيَتِي، فَإِنَّمَا أَنَا قَاسِمٌ، أَقْسِمُ بَيْنَكُمْ
“Berilah nama dengan namaku, akan tetapi jangan memanggil dengan panggilanku (yakni Abul-Qasim) kerana sesungguhnya aku adalah Qasim (pembahagi) yang membahagi di antara kamu”. (Riwayat Imam Muslim)

Seperti yang telah diketahui, Nabi s.a.w. juga ada menamakan salah seorang daripada anaknya dengan nama Ibrahim.


3. Antara ajaran sunat ialah memanggil anak yang baharu lahir dengan gelaran bapa. 

Seperti contoh bapa si pulan. Walaupun anak itu masih belum berkahwin atau belum mempunyai anak, tetapi boleh dipanggil dengan panggilan bapa si pulan. Malah Rasulullah S.A.W. sendiri mengamalkannya dan mengizinkan Aisyah r.a dipanggil dengan gelaran Ummu Abdullah walhal Abdullah ialah anak kepada adiknya Asma binti Abu Bakar r.a. Panggilan seperti itu boleh memberikan impak yang besar dalam diri anak-anak. 
Antaranya :
  • menyemai perasaan mulia dan hormat,
  • menjadikan peribadinya lebih dewasa kerana dia akan merasakan umurnya telah sampai ketahap umur yang dihormati,
  • menjadikannya lebih mesra dan menggembirakannya dengan memangil panggilan yang disukainya,
  • menjadikannya kebiasaan apabila berkomunikasi dengan orang yang lebih tua daripadanya.
Anas juga sudah dipanggil dengan gelaran Abu Hamzah sebelum dia mendapat anak. Begitu juga dengan Abu Hurairah yang dipanggil sedemikian sebelum dia mendapat zuriat.

Semoga dengan coretan yang sedikit ini dapat membantu ibubapa dalam memberikan nama kepada anak-anak mereka yang baharu lahir. Semoga nama-nama indah yang dipilih dengan makna-makna yang elok bisa menjadikan anak-anak tersebut seorang Muslim atau Muslimah yang sejati. Amin.


Panduan terbaik mendidik anak lelaki.

Teks : Norazira Mohamed

Islam menitikberatkan kepada pentingnya peranan ibubapa dalam mendidik anak-anak, tidak kira samada anak lelaki ataupun perempuan. Seperti mana hadis Rasulullah S.A.W, " Anak itu ibarat seperti kain putih, ibu bapalah yang akan mencorakkannya menjadi Nasrani, Yahudi ataupun Majusi”. Daripada hadis ini, s udah jelas lagi terang, itulah tanggungjawab sebagai ibu bapa yang perlu digalas dengan penuh amanah dalam membawa anak-anak ini mengenal Allah yang menciptaNya.

Namun demikian, terdapat perbezaan dalam mendidik anak lelaki dan juga perempuan. Tidak dinafikan, ibubapa memang mempunyai peranan yang berbeza dalam mendidik anak-anak, khususnya bapa dalam memberikan perhatian dan bimbingan yang Islamik secara berterusan kepada anak khasnya anak lelaki. Antara didikan utama untuk anak lelaki adalah seperti berikut :

 
Walaubagaimanapun, menurut Dr. Harlina Halizah Siraj atau lebih dekenali sebagai Dr. Har, Naib Presiden Jemaah Islam Malaysia (JIM) antara peranan ibubapa dalam mendidik anak lelaki ialah :

1. Peranan Bapa


  • Balik awal dari tempat kerja dan mandikan anak jika masih dibawah umur 5 tahun.
  • Bawa anak bersiar-siar dan luangkan waktu bersamanya. Biasanya kanak-kanak suka dibawa ke taman-taman permainan.
  • Ajak anak bergasak ataupun bergumpal. Ini kerana anak lelaki lebih sukakan aktiviti lasak berbanding anak perempuan. Aktiviti begini boleh menguatkan lagi tali ikatan (bonding) diantara bapa dan anak.
  • Kebiasaannya bapa adalah idola atau 'role-model' kepada anak lelaki. Oleh yang demikian, apa sahaja yang bapanya lakukan akan diikuti oleh anak. Jika bapanya seorang perokok, maka kebarangkalian anaknya juga menjadi seorang perokok adalah sangat tinggi berbanding anak kepada bukan perokok. Oleh itu, seorang bapa perlulah menunjukkan contoh tauladan yang baik buat anak-anak.
  • Dukung anak atas bahu bagi membolehkan anak memandang melalui pemandangan bapanya.

2. Peranan ibu
  • Ibu hendaklah menunjukkan kasih sayang dan berlemah lembut kerana biasanya anak lelaki belajar MENGASIHI melalui ibunya.
  • Bagi mengeratkan lagi ikatan (bonding) antara ibu dan anak lelaki, ajaklah anak berbual mengenai apa sahaj. Ceritakan apa yang ibu lakukan dan minta pendapatnya dalam beberapa perkara.
  • Berikan pujian atas usahanya walaupun kecil.

Semoga kita sebagai ibubapa, memberikan yang terbaik dalam mendidik anak-anak tak kira samada lelaki ataupun perempuan. InsyaAllah di entri lain nanti, saya akan kongsikan pula panduan mendidik anak perempuan.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...