Jumlah Pelawat

Teknik Nabi Muhammad

Teks : Norazira Mohamed


Dalam tak sengaja ketika saya sedang mencari kaedah atau tips dalam mendidik anak-anak di Internet, saya terjumpa dengan satu teknik yang tidak pernah saya ketahui sebelum ini. Bahkan bukan dalam hal mendidik anak-anak sahaja tetapi teknik ini boleh dipraktikkan dalam urusan kita seharian. Tapi saya lebih cenderung untuk mendalami didalam urusan mendidik anak-anak. Teknik yang saya maksudkan ialah Teknik Nabi Muhammad S.A.W.



Diantara teknik yang menggunakan gaya Nabi Muhammad ini ialah Teknik Memuji. Ianya boleh digunakan oleh ibubapa dalam perbualan harian dengan anak-anak. Biasanya jika kita mendekati anak-anak dengan menggunakan teknik ini, kelebihan anak-anak yang nakal, yang selalu melanggar disiplin atau yang tidak mahu membuat latihan/kerja rumah yang diberikan akan terserlah. Selain daripada itu, teknik memuji gaya Rasulullah ini juga dapat menaikkan rasa keyakinan (self-essteem) yang tinggi pada anak-anak. 



Ok, macam mana hendak memuji dengan menggunakan teknik Nabi ni yer? Apa yang perlu ibubapa lakukan ialah : PUJI dan NYATAKAN IMPAK. Yang tidak boleh dilakukan ialah : UGUT dan JANJIKAN GANJARAN. IMPAK yang dinyatakan pula ialah fokus kepada pernyataan rasa keyakinan ibubapa terhadap kemampuan anak-anak mereka.

Berdasarkan kajian yang dilakukan oleh Tim Psikologi Hadis (http://www.psikologihadith.com/), SATU PUJIAN SATU IMPAK. Namun, boleh juga dimasukkan impak yang kedua sekiranya ianya menepati teknik nabi iaitu puji kebaikan dan adanya pernyataan impak.

Ok, contoh ini saya amibil dari blog Puan Khairulniza di http://parentinggayarasulullah.blogspot.com yang mana ianya adalah skrip yang Puan Khirulniza gunakan bersama anaknya.




Ok dari skrip diatas, apa yang boleh diambil ialah :

Puji kebaikan : 

PUJIAN 1 : Terima kasih. Tahniah. Anak ibu telah mula membuat latihan melukis
PUJIAN 2 : Anak ibu juga berusaha untuk menggembirakan hati orang lain.


Nyatakan impaknya : 

IMPAK 1 : Ibu suka.
IMPAK 2 : Semoga Allah memurahkan reaeki Along.
IMPAK 3 : InsyaAllah, suatu hari nanti ALong berpeluang membeli Wacom.
IMPAK 4 : ALong dapat menambah kemahiran.
IMPAK 5 : Allah berikan pahala buat Along.

Saya percaya sekiranya kita menggunakan teknik yang betuk ketika memuji anak-anak, rasa keyakinan yang tinggi akan dapat dipupuk dalam diri anak-anak. InsyaAllah...

Orang Gaji Sambilan - 030413

Teks : Norazira Mohamed

Hari ini merupakan hari yang saya nanti-nantikan. Bukannya ada perkara yang istemewa pun. Cumanya hari ini bermulalah era orang gaji sambilan di rumah saya nanti. Mungkin ada yang bertanya, kenapa tidak diambil pembantu rumah sahaja? Bukannya saya tidak mampu, tapi disebabkan banyak sangat berita-berita yang tidak elok mengenai pembantu rumah ni, membuatkan saya ngeri untuk mengambil pembantu rumah tetap. Cukuplah saya mengupah pembantu secara sambilan sahaja. 


Kenapa perlu pembantu yer? Memang tidak dinafikan, saya mampu menguruskan rumahtangga sendiri. Namun ianya menuntut masa dan tenaga yang banyak dari saya lebih-lebih lagi dalam keadaan saya yang berbadan dua ini. Badan cepat letih. Apalagi anak empat orang dari umur 7 tahun hingga 8 bulan. Bila masa saya nak uruskan anak-anak, bila masa saya nak memasak, bila masa saya nak kemas rumah, bila masa saya nak menelaah pelajaran anak-anak. Sememangnya ianya menuntut masa yang banyak dari saya yang berkerja dari jam 8-5. Jadi masa yang ada dirumah, saya ingin jadikannya masa yang berkualiti bersama keluarga. 


Lagi pun pula, pembantu sambilan hanya datang pada waktu malam selama 2 jam dari jam 8-10 malam. Sekiranya kerja dapat disiapkan awal, maka boleh balik awal. Jadi tidaklah saya risau keselamatan anak-anak. Anak-anak saya hantar ke rumah pengasuh yang memang dipercayai. Antara tugas-tugas rutin yang perlu pembantu sambilan lakukan ialah mengangkat kain, menjemur kain, melipat kain, mengemop lantai, membasuh tandas, membersihkan dapur, menyapu rumah, membuang sampah, bla bla bla. Tidak habis kan kerja rumah ni. Jadi bila ada yang membantu saya melakukan semua kerja tersebut, dapatlah saya memberikan tumpuan pada hal anak-anak. Saya pun tidaklah letih sangat. Mudah-mudahan ianya menjadi seperti yang diharapkan. InsyaAllah.....


Empat Fasa Didikan Anak Mengikut Sunnah Rasulullah S.A.W

Teks : Norazira Mohamed


Rasulullah S.A.W merupakan manusia mulia yang tinggi darjatnya disisi Allah Ta'ala. Beliau merupakan contoh teladan bagi orang-orang yang beriman. Oleh itu, kita diwajibkan mencontohi Rasulullah S.A.W dalam setiap perkara termasuklah dalam hal mendidik anak-anak.

Sesungguhnya Rasulullah S.A.W telah memberi garis panduan dalam mendidik anak-anak. Terdapat empat fasa bagaimana mendidik anak-anak sebagaimana yang disarankan oleh  Junjungan Besar Nabi Muhammad S.A.W.



Fasa Pertama : Dari umur 0-6 tahun

Pada fasa ini, ibubapa hendaklah memberikan kasih sayang kepada anak-anak dengan memanjakan mereka, bergurau senda dan bermain bersama-sama. Sekiranya anak-anak membuat salah, jangan sesekali dirotan atau dipukul.


Fasa Kedua : Dari umur 7-14 tahun

Pada fasa ini, Islam masih memberi penekanan dalam memberikan kasih sayang tapi perlulah disulami dengan ketegasan dalam memberi arahan, menekankan pada disiplin dan juga melatih mereka pada tangungjawab. Selain itu, pada fasa ini, anak-anak perlu didedahkan dengan didikan solat, puasa, dan ibadah-ibadah yang lain.


Menurut hadith Abu Daud,


مُرُوا أُوْلاَدَكُمْ بِالصًّلاَةِ وَهُمْ أَبْنَاءُ سَبْعِ سِنِيْنَ، وَاضْرِ بُوهُمْ عَلَيْهَا وَهُمْ أَبْنَاءُ عَشْرِ سِنِيْنَ، وَفَرِّقُوا بَيْنَهُمْ فِي الْمَضَاجِعِ



“Perintahlah anak-anak kamu supaya mendirikan sembahyang ketika berusia tujuh tahun dan pukullah mereka kerana meninggalkan sembahyang ketika berumur sepuluh tahun dan asingkanlah tempat tidur di antara mereka (lelaki dan perempuan)".



Menurut hadis tersebut, antara contoh sikap tegas yang boleh dilakukan oleh ibubapa adalah memukul anak-anak yang tidak solat sekiranya telah mencapai umur 10 tahun. Namun terdapat beberapa syarat yang harus dipatuhi dalam hal merotan anak-anak. 


Antaranya :

  1. Anak mengerti mengapa dia dirotan.
  2. Orang yang memukul/merotan adalah walinya contoh ayahnya.
  3. Tidak boleh memukul secara berlebihan sehingga memudaratkan.
  4. Kesalahan yang dilakukan memang patut mendapat hukuman.
  5. Memukul/merotan dengan niat mendidik, bukannya untuk melepaskan marah.

Fasa Ketiga : Dari umur 15-21 tahun

Pada fasa ini, ibubapa seeloknya mendekati anak-anak dengan BERKAWAN dengan mereka. Banyakkan berborak dan berbincang dengan mereka tentang perkara yang mereka hadapi. Bagi anak remaja perempuan, berkongsilah dengan mereka tentang kisah kedatangan ‘haid’ mereka dan perasaan mereka ketika itu. 

Jadilah pendengar yang setia kepada mereka dan menghormati pandangan dan pendapat mereka selagi tidak bersalahan dengan syariat Islam. Sekiranya tidak bersetuju dengan sebarang tindakan mereka, elakkan mengherdik atau memarahi mereka terutama dihadapan adik-beradik yang lain tetapi banyakkan pendekatan secara diplomasi walaupun kita adalah ibubapa mereka. Ini kerana fasa ini adalah fasa remaja dimana anak-anak kita mudah memberontak.


Fasa Keempat : Dari umur 21 keatas

Pada fasa ini, anak-anak hendaklah diberikan kebebasan dalam membuat keputusan, dan memberikan sepenuh kepercayaan pada setiap keputusan yang anak-anak buat. Namun, ibubapa perlulah memantau dan memberikan nasihat diiringi dengan doa semoga sehala keputusan yang mereka amibil adalah betul dan mengikut landasan Islam yang sebenarnya.







Petua Agar Anak Ikut Cakap Ibubapa

Teks : Norazira Mohamed




Setiap dari kita sebagai ibubapa inginkan anak-anak yang baik, yang soleh/solehah, yang pandai, yang mendengar kata, dan yang paling penting yang dekat dengan Allah. Bagi saya, itulah yang saya harapkan dari anak-anak saya. Tapi semuanya bermula dari diri kita sebagai ibubapa. Macam mana cara didikan kita, begitulah acuan yang anak-anak dapat. Oleh itu saya suka mencari petua-petua da tip-tip dalam membesarkan anak-anak. Antara petua yang saya dapat ialah petua agar anak mendengar kata ibubapa. Saya dapat petua ni daripada laman sosial Facebook. Antara yang ditekankan ialah :

1. Setiap pagi, sebelum pergi sekolah, anda berdiri di belakang anak dan kedua-duanya (anak dan ibu atau bapa) menghadap kiblat. 

2. Letakkan kedua-dua telapak tangan ibu/ayah yang dirapatkan atas kepala anak tanpa sentuh kepala lebih kurang 1 inci dari rambut.

3. Bacakan al Fatihah dan Alam-nash-rah ... hingga habis. 

   


4. Niat dalam hati mohon pada Allah: "Ya Allah permudahkanlah anak aku ini untuk belajar dan diterangkan hati, lembutkan hati dan ditetapkan iman dan mohon anak aku ini mendengar cakap ibu bapanya".

5. Kucup dahi anak dan biarkan dia pergi ke sekolah. Telapak tangan anda (ibu/bapa) ada aura dan gunakannya sebaik-baiknya.

Jom sama-sama kita amalkan.


Ditipu tapi Berbaloi

Teks : Norazira Mohamed

Salam kasih sayang buat semua...

Hari ini saya hendak ceritakan pengalaman saya membeli rumah. Rumah yang saya hendak beli itu adalah rumah yang telah siap dan saya berhubung terus dengan tuan rumah. Setelah persetujuan dicapai mengenai harga dan jumlah deposit yang perlu saya bayar, wang pun bertukar tangan. Selepas itu, saya pun melantik firma guaman untuk menguruskan pembelian rumah tersebut antaranya membuat perjanjian jual beli. Disamping itu, saya mula membuat pencarian pinjaman perumahan di bank-bank yang tersohor di Malaysia bagi mendapatkan jumlah pinjaman yang terbaik.

Dua minggu selepas pembayaran deposit, Peguam menelefon memberitahu dokumen perjanjian jual beli telah pun siap dan diminta datang ke ofis untuk menandatangani dokumen tersebut. Peguam juga menghubungi pihak penjual memaklumkan perkara yang sama. Namun, setelah seminggu menunggu Penjual tidak juga datang ke firma guaman tersebut untuk menandatangani Perjanjian Jual Beli. 

Di pendekkan cerita, Penjual seolah melarikan diri atau menangguh-nagguhkan untuk menandatangani dokumen tersebut. Oleh itu, Peguam menasihati saya supaya memasukkan sekatan iaitu 'Kaveat' keatas hartanah tersebut. Alhamdulillah, selepas dua hari sekatan dimasukkan, barulah diketahui Penjual tersebut telah menjual rumah tersebut ke Pihak Ketiga dan telah pun dalam proses terakhir iaitu pembayaran wang kepada Pihak Ketiga oleh Bank. Tapi proses tersebut tidak dapat diteruskan kerana Sekatan yang telah saya masukkan.

Dipendekkan cerita lagi, saya membuat tuntutan untuk membuka Sekatan tersebut, Penjual hendaklah membayar balik jumlah deposit saya bersama sejumlah gantirugi iaitu sama nilainya dengan jumlah deposit yang telah saya bayar. Maksudnya 1:1. Alhamdulillah, walau pada mulanya Penjual tidak bersetuju, tapi akhir dia terpaksa akur dengan tuntutan saya. Itulah kisahnya... ditipu tapi berbaloi keran saya dapat menggandakan jumlah duit deposit saya.

Pengajarannya ialah sekiranya kita hendak melakukan sesuatu yang melibatkan jumlah wang yang besar, hendaklah kita mencari ilmu mengenainya ataupun bertanya pada yang pakar. 

Sekian.   

Selamat Hari Jadi - 310313

Teks : Norazira Mohamed


Hari Ahad lepas merupakan hari yang bersejarah dalam hidup saya. Tiga puluh tujuh tahun yang lepas, ibu saya, Allahyarhamah Siti Fatimah telah selamat melahirkan bayi perempuan yang comel (perasan sikit yer..) yang diberi nama Norazira Mohamed. Iya, Ahad lepas iaitu 31 Mac 2013 merupakan ulangtahun kelahiran saya yang ke tiga puluh tujuh tahun.

Pada hari istimewa itu, Encik Suami memasakkan nasi ayam penyet khas buat isterinya ini. Terus terang saya katakan, memang saya tidak pernah merasa nasi ayam penyet di mana-mana sebelum ini. Inilah yang pertama kali. Dan saya tidak tahu bagaimana rasanya nasi ayam penyet di restoran atau kedai makan yang lain tapi bagi saya nasi ayam penyet masakan Encik Suami adalah yang paling sedap pernah saya makan.



Alhamdulillah, tiga puluh tujuh tahun dengan dikurniakan empat orang cahayamata. Yang kelima bakal menyusul Syawal nanti. Ya Allah, aku bersyukur dengan nikmat yang telah Kau limpahkan selama tiga puluh tujuh tahun ini.

InsyaAllah tahun ini, saya ingin mencabar diri saya membuat sesuatu yang tidak pernah terduga oleh akal fikiran saya selama ini. Semoga saya istiqamah dalam melakukannya. Apakah ia? Biarlah ianya menjadi rahsia saya dahulu. Bila dah berjaya nanti, saya akan war-warkan. 

Kelas Memasak - 290313

Teks: Norazira Mohamed
Sumber Gambar : Google Images



Hari ini, Kelab Kebajikan di tempat kerja saya ada mengadakan kelas memasak. Antara masakan yang di ajar ialah kek red velvet, ayam golek dan pizza.



Wow, kek red velvet tuh! Memang saya suka makan kek tapi nak buat sendiri, tiada kepandaian. Tak pandai tu satu, satu lagi rasa macam remehnya buat kek. Bahan-bahan perlu mengikut sukatan yang betul, kalu tidak bantatlah jawabnya kek tu nanti.



Tapi cikgu A yang mengajar tu tadi telah menunjukkan cara buat kek yang paling senang. Memang senang sangat. Masuk semua bahan kedalam periuk dan kacau sebati. Kemudian letak atas dapur dan tunggu kek masak. Huish senangnya. Tapi kenapa senang sangat yer?



Sebabnya cikgu A menggunakan tepung yang dah siap dibancuh iaitu tepung kek red velvet. Tepung tu pun ada dia bawa untuk dijual. Bukan tepung je tapi periuk sekali iaitu periuk Cookline - set memasak holistik seramik berteknologi tinggi. Mengikut kata cikgu A, kek tu takkan menjadi kalau dimasak menggunakan periuk lain. Jadi, kalau nak masak kek velvet yang sedap tu kena la beli periuk yang dinyatakan tu.




Ok, masakan kedua ialah ayam golek. Yang ni lagi mudah. Masukkan seekor ayam yang telah dibersihkan kedalam periuk Cookline. Lepas tu, masukkan bawang besar dan halia yang telah dihiris, rempah perap madu keluaran Azlee (yang kebetulan cikgu A adalah salah seorang pengedar produk Azlee) dan kicap manis cap kipas udang secukup rasa. Masak atas api yang sederhana selama 30 minit dan dah masak pun golek hainan. Fuh! canggih betul periuk nih.



Masakan ketiga pulak ialah pizza. Ok, untuk membuat doh pizza, cikgu A menggunakan tepung yang juga telah siap dibungkus iaitu tepung roti/pizza/donut/croissant. Masukkan tepung tersebut kedalam bekas, kemudian masukkan bahan-bahan lain iaitu susu tepung, garam, majerin dan air suam. Uli sehingga menjadi doh yang lembut. Kemudian bolehlah di bentuk mengikut keperluan. Letakkan sos pizza, ayam atau daging, buah nenas yang telah dihiris, sosej, lada benggali dan lain-lain mengikut citarasa masing-masing. Kemudian masukkan adunan pizza tersebut kedalam periuk Cookline dan masak diatas dapur dengan api sederhana. 



Kesimpulan dari kelas memasak tadi ialah, untuk memasak ketiaga-tiga jenis masakan diatas, anda perlulah memiliki periuk Cookline - set memasak holistik seramik berteknologi tinggi. Jadi cikgu A pun mengedarkan borang tempahan periuk dan cara bayaran samada bayaran ansuran secara kutu atau penuh. Harganya boleh tahan juga. Kesimpulannya juga yang dapat saya cedok dari kelas ini ialah ianya adalah kelas untuk menjual periuk tersebut yang hanya dipasarkan oleh Syarikat Zhullian, dan juga tepung yang dah siap dibungkus serta produk Azlee. Dari segi pemasaran, memang tidak dinafikan cara pemasarannya berjaya namun, saya secara individu merasa tertipu. Iyalah, ingatkan lepas ni bolehlah nak masak makanan-makanan tersebut untuk suami dan anak-anak tapi perlulah beli periuk tu dulu. Oh tipah tertipu.



Inilah rupa periuk tersebut.


LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...