Teks : Norazira Mohamed
Assalamualaikum...
Dengan lafaz bismillah, saya memulakan kalam untuk entri pertama. Sebenarnya sejak dari sekolah mengenah, saya suka menulis diari. Segala rentetan peristiwa saya lakarkan di dalam diari. Saya suka menulis apa yang berlaku setiap hari. Saya suka luahkan apa yang berbuku di hati. Saya suka lakarkan apa yang dirasa. Saya suka nukilankan apa yang diamati. Ah, itu dulu. Selepas berjaya ke menara gading, diari semakin dilupakan. Lupa pada catatan menarik ketika bergelar mahasisiwi. Hasilnya, banyak cerita suka dan duka dilupakan.
Sekarang, dengan gelaran sebagai isteri dan juga ibu, banyak luahan dicurahkan di lembaran hati, tapi tidak pernah disimpan. Akhirnya segala rasa, duka, masam manis kehidupan hilang begitu sahaja. Oh! Rindunya untuk menulis lagi, mencoret dan meluahkan apa yang berbuku di hati serta melakarkan segala suka duka, asam garam kehidupan khususnya berkongsi cerita dalam mendidik anak-anak, amanah Allah yang tidak ternilai.
Pada mulanya saya merasakan senangnya menulis. Apa yang susahnya? Tulis sahaja apa yang di rasa dan apa yang terlintas difikiran. Tetapi penulisan juga memerlukan skil tertentu. Memang tidak dinafikan semua orang boleh menulis tapi apakah penulisan tersebut memanfaatkan orang lain. Jika dulu, semasa masih remaja, coretan pada helaian diari banyak berlandaskan emosi. Namun sekarang, seusia dengan kematangan umur, saya berharap dapat mencoretkan sesuatu yang dapat di manfaatkan oleh para pembaca budiman sekelian, bukan hanya coretan kosong semata.
Oleh itu, selari dengan peranan saya sebagai seorang ibu, saya berharap dapat mencoretkan sesuatu yang dapat memanfaatkan ibubapa lain dalam mendidik anak-anak. Apatah lagi dengan cabaran masa kini, yang kebanyakan ibu-ibu berkerja bagi memenuhi tuntutan kehidupan apalagi dibandar mahupun di kota. Peranan ibubapa banyak diserahkan kepada pihak ketiga samada pusat asuhan kanak-kanak, pembantu rumah atau pun jiran tetangga yang menjadi pengasuh sejak dari usia kecil. Bukanlah saya katakan saya dah banyak pengalaman, saya juga masih belajar dan mencari ilmu-ilmu mengenai keibubapaan. Segala ilmu yang saya perolehi akan saya himpukan di blog ini supaya kita semua sama-sama dapat mengambil manfaat dan iktibar daripadanya.
Sekian dulu dari saya. Salam perkenalan dan salam kasih sayang ikhlas dari saya...
Norazira Mohamed.
Serdang,
Selangor.
chaiyyok mah..semoga sama2 kita mendapat manfaat dari penulisan ini.
ReplyDelete